‘Kesal Kenyataan Cetus Isu Perkauman’ – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesal kerana kenyataannya tentang isu harga barang telah menimbulkan sentimen perkauman.

 

Beliau yang juga Ahli Majlis Ter­tinggi (MT) UMNO berkata, komen menerusi laman Facebook rakannya pada 1 Februari lalu itu dibuat secara tertutup namun menjadi viral dan telah disalahtafsirkan.

 

“Saya tidak pernah berniat untuk mewujudkan ketegangan dan polarisasi kaum kerana niat saya ketika membuat komen itu adalah jelas ditujukan kepada peniaga-peniaga yang masih degil menurunkan harga barang tanpa mengira kaum.’’ kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Ismail Sabri menambah, Kabinet juga telah bersetuju bahawa isu berkenaan perlu dihentikan serta-merta kerana Barisan Nasional (BN) akan terus membela dan menjaga kepentingan semua kaum.

 

“Saya menyeru semua pihak perlu bergerak ke hadapan dan sama-sama memberi fokus kepada usaha untuk menurunkan harga barang. Para pengguna tanpa mengira kaum di negara ini juga perlu bersatu menggunakan kuasa dan hak pengguna bagi mendorong peniaga me­nurunkan harga barang sejajar dengan penurunan harga minyak,” katanya.

 

Sementara itu Ismail Sabri mempersoalkan alasan seterusnya yang akan diberikan oleh golongan peniaga untuk tidak menurunkan harga barang selepas penurunan tarif elektrik berkuat kuasa 1 Mac ini?

 

Beliau beranggapan, golongan peniaga kini sudah ‘muflis’ alasan untuk tidak menurunkan harga barangan.

 

Kata beliau. sekiranya pasar tani dapat menurunkan harga 73 jenis produk makanan harian antara lima hingga 20 peratus, mengapa para peniaga lain tidak boleh melakukannya.

 

“Peniaga pasar tani yang me­ngambil dari pemborong juga telah menurunkan harga, kenapa tidak peniaga lain yang juga mengambil dari pemborong?

 

“Jadi, mereka sudah tiada lagi alasan kerana kita bercakap sekarang tentang kuasa pengguna. Pengguna perlu menggunakan kuasa mereka untuk mendesak peniaga turunkan harga,” katanya selepas mengadakan lawatan di Tapak Projek Perintis Cili Fertigasi Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Pengasas NAAM, Datuk M. Saravanan.

 

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air semalam mengumumkan penurunan tarif elektrik di Semenanjung sebanyak 2.25 sen per kilowatt-jam (kWj) berkuat kuasa 1 Mac sehingga 30 Jun ini selaras de­ngan penjimatan semakan semula kos bahan api dan kos penjanaan (ICPT).

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, pe­ngurangan itu bakal memberi manfaat kepada 32 peratus pengguna domestik yang melebihi 300 kWj sebulan, komersial serta industri.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sekiranya peniaga terus berdegil untuk menurunkan harga, rakyat masih mempunyai kuasa kepenggunaan dengan memilih alternatif lain yang jauh lebih baik seperti pasar tani.

 

“Apabila saya kata guna kuasa pengguna, bukan boikot semata-mata, tetapi mencari alternatif dan berbagai-bagai lagi, kuasa itu luas,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.