Kenderaan Shuttle Disediakan Untuk Orang Ramai Menziarahi Jenazah Nik Aziz

Kota Bharu – Solat jenazah ke atas Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan diadakan pada pukul 10 pagi Jumaat di Masjid Pulau Melaka. Jenazah kemudian akan dibawa ke tanah perkuburan Pulau Melaka.

 

Urusetia Pengurusan Ziarah dan Solat Jenazah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal pagi ini memaklumkan kenderaan shuttle disediakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV untuk orang ramai yang ingin menziarahi jenazah. Kenderaan itu disediakan mulai pukul 7.30 pagi yang akan membawa orang ramai ke kediaman Allahyarham di Pulau Melaka.

 

Tetamu-tetamu dari kalangan pimpinan parti-parti politik dan lain-lain yang tiba melalui Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa boleh ke Pulau Melaka dengan menggunakan kenderaan yang akan disediakan.

 

Urusetia itu juga memaklumkan jalan akan ditutup bermula dari Simpang 4 Panji (JPJ) hingga ke Simpang 4 Kota Jembal (Jalan Sultan Omar).

 

Nik Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada pukul 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari hospital. – mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.