Adun PPBM Dakwa Pergi Kondominium Hanya Untuk Sesi Perbincangan

“Saya akan meneruskan tugas seperti biasa sebab di pihak yang benar,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah.

Beliau yang ditemui di rumahnya di Pulau Meranti, Dengkil, hari ini berkata, dia tidak tertekan dengan pelbagai tohmahan berlegar ketika ini.

Namun, Adif Syan, 39, mengakui dalam kejadian itu dia berada di tempat dan masa yang salah.

Ketua ARMADA Selangor itu berkata, dia hadir ke kondominium itu hanya untuk menghadiri sesi perbincangan sahaja.

“Saya tidak boleh memberikan sebarang komen terhadap isu ini kerana ia sedang disiasat, malah dinasihati tidak berbuat demikian.

“Namun saya boleh katakan, saya berada di tempat salah pada masa salah, malah saya tegaskan bahawa saya berada di pihak yang benar,” katanya.

Ditanya adakah kejadian itu dirancang pihak tertentu, katanya, ia berkemungkinan sebegitu sebab pemilihan parti bulan depan.

“Saya musykil bagaimana laporan itu boleh disebarkan kerana itu hanyalah laporan awal sahaja,” katanya.

Mengenai kekeliruan beliau direman di lokap polis, Adhif Syan menjelaskan bahawa dia tidak ditahan dan berada di rumah selepas selesai membantu siasatan.

“Selepas membantu siasatan, saya kembali ke rumah dan tidur seperti biasa dan hanya mengetahui kekecohan di laman sosial apabila bangun pagi tadi,” katanya sambil menegaskan akan meneruskan tugas membantu rakyat seperti biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.