Sultan Abdullah Serah Pada Suratan Takdir Peluang Ditabal Sebagai YDPA

KUANTAN – “Kalau sudahpun tercatit saya ke situ, ke situlah saya,” demikian titah Sultan Pahang yang baharu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda berkata demikian apabila ditanya kemungkinan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berikutan pemasyhurannya sebagai Sultan Pahang keenam menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah berkuat kuasa semalam.

“Ada dalam Surah Yaasin ayat ke-82, kita semua patut tengok ayat itu baru kita faham maksud saya,” titah baginda lagi dipetik Utusan Malaysia. 

Baginda sebelum itu berkenan berangkat menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Al Imam Ash Shafie di Kotasas di sini hari ini.

Surah Yaasin ayat 82 dimaksudkan baginda bermaksud ‘Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, Jadilah! Maka jadilah ia.’

Sultan Abdullah bertitah, baginda menyerahkan kepada suratan takdir berhubung peluang untuk ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

“Tidak kira proses mana sekalipun, berdoa supaya pilihan itu pilihan yang terbaik untuk negara tak kira siapa sekali pun,” titah baginda.

Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Ia susulan keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan itu selaras dengan Perkara 32 (3) Perlembagaan.

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang.

Sementara itu, Sultan Abdullah bertitah, baginda insaf dan perasaannya bercampur sedih serta syukur atas pemasyhuran sebagai Sultan Pahang.

Titah baginda, ia adalah tanggungjawab besar dan akan berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat negeri ini. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.