Patutnya Gejala Rasuah Yang Disiasat, Tapi Pemilik FB Pula Yang Diburu, Asyraf Wajdi Tempelak PH

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana sibuk ‘memburu’ pemilik akaun Facebook (FB) yang terlibat dalam penyebaran gambar jentera parti politik memberi wang ketika kempen PRK Cameron Highlands. 

Asyraf berkata, kerajaan sepatutnya mengambil tindakan terhadap gejala rasuah yang berlaku sebagaimana yang tersebar di media sosial itu, bukan menyasarkan pemilik akaun FB tersebut.

“Inilah ‘Rule of Law’ di bawah Kerajaan Malaysia Baharu!!! Sepatutnya yang disiasat adalah gejala Rasuah Politik yang berlaku. Sebaliknya pemilik FB yang dedah dan sebar gambar pelaku pula yang disiasat. 

“Makin dasyat nampaknya pusingan U dan hipokrasi mereka yang dulu kononnya pejuang keadilan, ketelusan dan kerajaan berintegriti,” tulisnya di laman Instagram.

Asyraf merujuk kepada laporan media bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang melakukan siasatan bagi mengenalpasti pemegang akaun FB dan individu yang terlibat dalam gambar pemberian duit yang dikatakan oleh jentera parti politik di dalam media sosial.

Terdahulu gambar seorang wanita berpakaian t-shirt merah tertera Pakatan Harapan sedang mengagihkan wang kepada beberapa pemuda, tular dalam media sosial hari ini.

Gambar tersebut yang dipercayai dirakam ketika PH berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, memberi gambaran seolah-olah wujud elemen politik wang dalam kempen pakatan itu.

Bagaimanapun Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet menjelaskan bahawa wang yang diagihkan dalam gambar yang tular itu adalah wang pembayaran balik penampungan kos petrol kepada sukarelawan-sukarelawan PH yang datang dengan motosikal sendiri dari rumah mereka di kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menyarankan pihak yang melihat berlaku politik wang ketika kempen PRK itu agar membuat laporan polis. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.