Majikan Ambil PATI Bekerja Bakal Berdepan Denda RM100,000

PUTRAJAYA 12 Jan. – Majikan yang masih berdegil menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) bakal berhadapan hukuman denda RM100,000 bagi setiap pekerja sekiranya mereka tetap berbuat demikian.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, langkah itu merupakan antara satu usaha kerajaan menangani kebanjiran PATI di negara ini menerusi pindaan Akta Sekatan Pekerja 1968 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.

 

“Kita berharap menerusi pindaan ini dapat memberi peringatan kepada majikan agar mengambil pekerja asing dengan saluran yang betul.

 

“Kerajaan telah memberi banyak peluang kepada PATI termasuk majikan sendiri melalui pelbagai program pendaftaran warga asing seperti program pemutihan 3P dan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Rehiring sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Dialog Bersama Para Majikan di sini semalam.

 

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

 

Mengikut Akta Sekatan Pekerja 1968, majikan yang menggaji PATI boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap pekerja tetapi dalam kebanyakan kes setakat ini, majikan hanya dikompaun RM5,000, selain hukuman denda dan penjara bagi kes-kes tertentu di bawah Seksyen 56 (1) Akta Imigresen.

 

Sementara itu, ketika mengulas keputusan kerajaan menangguhkan dasar menuntut majikan membayar levi pekerja asing sehingga tahun 2018, Seng Kuan menjelaskan, keputusan itu dilakukan setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak antaranya persatuan majikan dan pemain industri.

 

Katanya, pihak terlibat telah memohon penangguhan kerana mereka mahu diberi sedikit masa sebelum dasar itu dilaksanakan berikutan ia bakal memberi kesan kepada kos industri.

 

“Kerajaan amat prihatin dengan perkara tersebut dan memutuskan dilaksanakan bermula Januari 2018. Sebenarnya dasar ini sudah lama wujud, tetapi kita menangguhkannya sejak 2013 untuk tujuan semakan semula,” katanya.

 

Semalam Jemaah Menteri bersetuju menangguhkan pelaksanaan menuntut majikan membayar levi pekerja asing yang dikuat kuasa menurut Komitmen Mandatori Majikan (EMC) ke tahun depan.

 

Pada 31 Disember lalu, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan pelaksanaan levi berkuat kuasa 1 Januari lalu yang berperanan memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja asing masing-masing. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.