Lagi Lelaki DItangkap, Hina Kematian Adenan

KUCHING – Seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan di Kuantan, Pahang berhubung posting dalam Facebook mengenai Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata lelaki itu ditahan pada jam 5 petang semalam berikutan maklumat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak.

 

Polis juga merampas telefon bimbitnya untuk siasatan.

 

“Sepasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Kuching akan berlepas ke Kuantan esok untuk mengiringi suspek balik,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini semalam.

 

Dev berkata setakat jam 8 malam semalam, 37 laporan polis telah dibuat di 12 daerah polis terhadap beberapa pemegang akaun Facebook yang didakwa telah membuat posting atau komen berbaur fitnah berhubung pemergian Ketua Menteri Sarawak.

 

“Siasatan sedang dijalankan ke atas enam daripada laporan itu,” katanya sambil menambah dua penangkapan telah dibuat setakat ini dan selebihnya sedang disiasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.