Tertuduh Dilatih Untuk Perang Gerila

KOTA KINABALU – Seorang tertuduh pada perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu dipercayai telah dilatih untuk peperangan gerila, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

 

Ketua Kompeni C Batalion ke-16 Pasukan Gerakan Am (PGA) ASP Mohamad Zaiful Zahari berkata tertuduh Aiman Radie menunjukkan taktik perang gerila apabila dia ditangkap di tepi pantai Kampung Tanduo, Lahad Datu kira-kira 7.20 malam pada 2 Mac, 2013, walaupun berpakaian awam dan membawa beg sandang yang mengandungi kebanyakannya kelengkapan dandanan diri.

 

Mohamad Zaiful yang ketika itu Komander Platun 1, Kompeni A Batalion ke-16 PGA atau lebih dikenali sebagai ‘Tiger Platoon’, berkata perbuatan Aiman berjalan seorang diri di tepi pantai pada waktu malam adalah taktik perang gerila untuk mengelakkan daripada ditangkap pasukan keselamatan.

 

“Sebagai pegawai yang pernah dilatih dalam Tiger Platoon dan ada mempelajari taktik peperangan gerila, mengurangkan jejak kita untuk mengelak daripada dikesan cukup untuk menunjukkan satu taktik peperangan gerila,” katanya.

 

Mohamad Zaiful memberi keterangan pada perbicaraan 30 orang yang menghadapi pertuduhan atas pelbagai kesalahan bersabit dengan insiden pencerobohan di Kampung Tanduo.

 

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff berkaitan taktik perang gerila yang biasanya digunakan, pegawai PGA itu berkata taktik asas yang dipelajarinya semasa latihan adalah perbuatan penyamaran dan menyusup masuk ke sesuatu kawasan bagi tujuan sabotaj.

 

Apabila ditunjukkan satu ikat gambar di mahkamah, Mohamad Zaiful menunjuk kepada gambar yang memaparkan Aiman ​​memakai baju celoreng dan seluar jeans berwarna biru dengan topi celoreng.

 

Dalam gambar itu, tertuduh juga dilihat membawa parang kecil (barong) yang disandang pada bahagian belakangnya, kata saksi itu.

 

Ketika ditanya Ishak mengapa tertuduh berpakaian ala tentera dalam gambar tetapi memakai pakaian awam semasa dia ditangkap, Mohamad Zaiful berkata antara taktik perang gerila apabila seseorang berada di bawah tekanan atau kemungkinan menghadapi kekalahan adalah mempraktikkan penyamaran dengan melucutkan semua senjata, pakaian dan peralatan yang mendedahkan identiti sebenarnya.

 

Semasa pemeriksaan balas, saksi tidak bersetuju dengan andaian peguam Datuk N. Sivananthan bahawa dia adalah seorang pakar dalam perang gerila. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.