Tarikh Umum Keputusan 
SPM Kekal 3 Mac 2015

CYBERJAYA 12 Jan. – Kementerian Pendidikan mengesahkan tiada kertas jawapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang rosak dalam banjir besar yang berlaku di beberapa negeri pada Disember lalu.

 

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tarikh pengumuman keputusan SPM tidak akan ditangguhkan meskipun banjir yang berlaku itu sedikit sebanyak menjejaskan proses menyemak kertas peperiksaan.

 

“Ketua Pengarah Pelajaran (Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof) telah menyatakan tiada kertas jawapan yang rosak akibat banjir dan oleh itu keputusan SPM akan diumumkan mengikut jadual asal iaitu pada 3 Mac ini,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya di sini hari ini.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, sesetengah guru dan pelajar di kawasan yang dilanda banjir kini terpaksa mengadakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan serba kekurangan kerana kelengkapan sekolah serta buku teks telah rosak akibat banjir.

 

“Untuk itu, Kementerian Pendidikan akan mengganti buku teks yang rosak secepat mungkin sementara Jabatan Pendidikan negeri pula telah diarah mendapatkan bekalan kerusi dan meja baharu daripada pembekal dengan segera.

 

“Anggaran kos untuk membaiki kerosakan akibat banjir mungkin mencecah RM500 juta dan kerja-kerja membaiki dijangka memakan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan lamanya,” katanya.

 

Selain itu beliau berkata, pihak kementerian turut mendapat keizi­nan daripada Kementerian Kewa­ngan untuk melantik kontraktor berwibawa bagi membaiki kerosakan banjir melalui kaedah rundi­ngan terus sekali gus mempercepatkan proses membaik pulih sekolah.

 

Muhyiddin berkata, kejadian banjir besar tersebut juga harus dijadikan iktibar dan atas sebab itu pihaknya akan meneliti reka bentuk serta tapak yang lebih sesuai untuk pembinaan sekolah baharu. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.