SPRM Tubuh Jawatankuasa Intergriti Banjir, Pastikan Pengurusan Dikendalikan Dengan Telus

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Dana dan Tabung Banjir bagi memastikan pengurusan dana dan tabung banjir kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dikendalikan dengan telus dan bebas daripada penyelewengan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata jawatankuasa yang mula beroperasi esok itu akan menyiasat semua aduan dan maklumat mengenai penyelewengan dan salah laku dalam pengurusan dana dan tabung banjir.
Jawantakuasa itu diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Mustafar Ali dan turut dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Audit Negara.
“Jawatankuasa ini akan membantu memastikan pengurusan tabung dan dana yang telus, teratur serta semua bantuan sampai kepada mangsa banjir,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sebelum itu, majlis menandatangani memorandum kerjasama antara SPRM, MKN dan Jabatan Audit Negara diadakan. Hadir sama ialah Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab dan Timbalan Ketua Audit Negara (Sektor Audit Kerajaan Persekutuan), Datuk Anwari Suri.
Beliau berkata jawatankuasa itu juga akan mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan integriti sistem penyampaian dan pengurusan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
Abu Kassim berkata sebuah Bilik Gerakan telah dibuka di pejabat SPRM di Kelantan yang berperanan sebagai pasukan khas untuk menyiasat semua aduan mengenai penyelewengan.
Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan menerusi talian 019-2849134, 019-2849234 atau 019-2849389.
Bagi negeri-negeri lain yang terlibat bencana banjir, Abu Kassim berkata SPRM, MKN dan Jabatan Audit negeri akan membuat penyelarasan.
Ditanya bentuk tindakan yang akan diambil sekiranya berlakunya penyelewengan ke atas dana dan tabung banjir, Abu Kassim berkata ia bergantung kepada keadaan dan juga jenis aduan yang dibuat.
“Sekiranya terdapat aduan bahawa bantuan tidak sampai dan wang itu telah diambil pihak tertentu, tindakan akan diambil mengikut Akta Pencegahan Rasuah.
“Sekiranya ada pihak yang memalsukan dokumen untuk mendapatkan bantuan, maka tindakan akan diambil mengikut Kanun Keseksaan,” kata Abu Kasim.
Beliau berkata setakat ini SPRM telah menerima aduan yang mendakwa bantuan tidak sampai namun setelah siasatan mendapati sebenarnya berlaku kelewatan kerana pihak yang terlibat perlu membuat penyelarasan.
Sementara itu, Abu Kassim memuji MKN yang tampil untuk memasukkan elemen integriti dalam bantuan khas RM500 juta yang disalurkan kerajaan untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.
“Inisiatif MKN harus dijadikan contoh untuk meningkatkan ketelusan dan pengurusan dana dan tabung bantuan,” katanya.
Sementara itu, Thajudeen berkata MKN sentiasa memastikan semua pengurusan perbelanjaan bantuan khas kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir dilaksanakan dengan telus, berhemah dan berintegriti.
“Dengan kerjasama SPRM dan Jabatan Audit Negara, MKN mahu mangsa-mangsa banjir yakin bantuan kerajaan telus dan terus sampai kepada mereka,” katanya, sambil menambah bantuan itu termasuk wang ihsan RM500 kepada mangsa banjir dan juga RM5,000 kepada waris keluarga yang meninggal dunia akibat banjir. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.