Saya Tidak Tahu, Jangan Tanya Saya… – Hamid

Kuala Lumpur – Bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini enggan mengulas lanjut berkenaan hubungan antara ketua judi Paul Phua Wei Seng dan kumpulan kongsi gelap 14K dengan keselamatan negara sebaliknya mengembalikan perkara itu kepada polis.

 

 

“Saya tidak tahu, jangan tanya saya… maklumat berkenaan jenayah ini daripada polis, jadi apa juga polis cerita, itulah dia,” katanya yang kini merupakan pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ketika ditemui selepas sidang medianya di Kuala Lumpur.

 

 

Ketika ditanya lagi, sama ada beliau sedia maklum sama ada Paul terlibat dengan keselamatan negara seperti didakwa surat yang ditujukan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kepada Timbalan Pengarah Federal Bureau of Investigation (FBI) Mark F Giuliano, Syed Hamid berkata: “Kamu jangan letak perkataan dalam mulut saya. Saya tidak tahu.”

 

 

Media sebelum ini melaporkan, melalui suratnya itu, Zahid berkata, Phua “beberapa kali membantu kerajaan Malaysia dalam projek berkaitan keselamatan negara”.
Phua sedang dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan menjalankan operasi perjudian haram di Caesar’s Palace Hotel, Las Vegas sewaktu perlawanan bola sepak Piala Dunia di Brazil pada Julai 2014.

 

 

Beliau sebelum ini pernah ditahan dan kemudiannya diusir dari Macau kerana menjalankan operasi perjudian atas talian.

 

 

Peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita sebelum ini surat Zahid bertujuan membetulkan kesilapan dalam satu laporan yang diserahkan pihak FBI kepada mahkamah sebagai dokumen dalaman yang menyatakan mereka dimaklumkan pihak polis Malaysia Phua ialah ahli kongsi gelap 14K.

 

 

Malah dalam surat itu, Zahid menyifatkan Phua sebagai seorang yang baik dan menolong Malaysia dalam hal melibatkan keselamatan negara.

 

 

Dalam surat bertarikh 18 Disember 2014 itu, Zahid mengatakan Phua bukan anggota 14K Triad di Malaysia, menafikan fail mahkamah Jabatan Kehakiman AS mengatakan beliau adalah anggota tertinggi kongsi gelap haram Asia itu. – MI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.