Rozana Cedera Di Muka, Hidung Dan Tangan – Saksi

Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini diberitahu Rozana Misbun mengalami kecederan di muka, hidung dan tangan ketika gambarnya diambil di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya pada 14 Jun tahun lalu.

 

Konstabel Mohd. Fauzi Mohd. Nor berkata, dia telah merakamkan tujuh gambar isteri vokalis Wings itu yang melibatkan pelbagai sudut seperti gambar keseluruhan, separuh besar, bahagian hidung, tangan kiri dan kanan.

 

“Kesemua gambar itu telah ditanda huruf A hingga G dan dirakam menggunakan kamera jenama Canon sebelum dimasukkan ke dalam kompak disk.

 

“Gambar itu seterusnya dicuci serta diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk disimpan dalam peti berkunci,” katanya yang merupakan seorang jurugambar.

 

Mohd. Fauzi yang merupakan saksi pertama berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes terhadap tertuduh, penyanyi Awie yang menghadapi tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun lalu.

 

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaaan.

 

Sementara itu, saksi kedua, Inspektor Latifah Abdul Aziz dalam keterangan berkata, dia menerima empat bahan kes untuk dianalisa.

 

Dia yang merupakan juruanalisa di Seksyen Audio Makmal Forensik berkata, bahan kes itu melibatkan pemacu simpanan, telefon bimbit jenama Samsung berwarna kelabu dan hitam serta telefon bimbit Blackberry.

 

“Saya diarahkan menganalisa pemacu simpanan yang terdapat imej suspek dan pengadu yang sedang keluar dan masuk di sebuah bank selain imej di kaunter seorang lelaki berambut panjang dan seorang wanita yang sedang menutup mulut.

 

“Namun akibat relolusi tempat kejadian yang rendah, imej yang dipaparkan adalah kabur dan imej suspek dan pengadu tidak nampak keseluruhan.

 

“Analisa ke atas telefon bimbit jenama Samsung berwarna kelabu pula melibatkan imej seorang wanita yang mengalami kecederaan dan lebam di muka dan saya tidak menjumpai imej tersebut.

 

“Bagaimana pun saya menjumpai gambar seorang wanita yang yang mengalami kecederaan selepas melakukan analisa ke atas telefon bimbit jenama Samsung berwarna hitam serta telefon bimbit Blackberry,” katanya.

 

Perbicaraan bersambung esok apabila Rozana akan dipanggil sebagai saksi.

 

Awie yang diwakili peguam Hazman Harun dan Aimizaizul Amran hadir pada prosiding berkenaan.

 

Rozana bagaimanapun tidak hadir kerana berada di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

 

Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana Hulu Kelang di sini.

 

Awie dan Rozana, 36, dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005.

 

Terdahulu Awie pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998 dan bercerai pada Oktober 2006. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.