Polis Jejak Sirul, Peguam Kata Bukan ‘Hilang’

Peguam, Kamarul Hisham Kamaruddin mengakui bahawa beliau terputus hubungan dengan anak guamnya, Sirul Azhar Umar – yang didapati bersalah membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu – sejak enam bulan lalu.

 

Sirul tidak muncul ke mahkamah dalam pendengaran keputusan rayuan kes itu di Mahkamah Persekutuan pagi ini.

 

Kamarul berkata, beliau terputus hubungan dengan anak guamnya itu sejak pendengaran kes tersebut di Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun hingga 25 Jun 2014 – dan tidak tahu menahu di mana kedudukan anak guamnya kini.

 

“Kali terakhir saya dihubungi anak guam saya, mungkin seminggu selepas pendengaran di Mahkamah Persekutuan (dari 23 Jun hingga 25 Jun, 2014), selepas itu (saya tidak dapat) menghubungi (Sirul),” katanya.

 

“Saya tidak tahu langsung di mana dia berada.

 

“Berdasarkan perhubungan terakhir dengannya, saya langsung tiada asas untuk mengatakan bahawa beliau berkelakuan aneh. Saya ada sebab untuk percaya bahawa beliau akan hadir untuk (keputusan) hari ini,” katanya.

 

Menurutnya lagi, beliau tidak akan menyifatkan Sirul “hilang” dan hanya menyebut bahawa pegawai polis itu tidak berada di mahkamah hari ini kerana gagal menerima notis untuk hadir ke mahkamah.

 

Mahkamah Persekutuan hari ini mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan apabila mendapati Sirul dan seorang lagi tertuduh Azilah Hadri bersalah membunuh Altantuya dan mengembalikan hukuman mati terhadap mereka.

 

Mahkamah turut bersetuju dengan permohonan pendakwaan untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas anggota pasukan elit polis itu.

 

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan menjejaki Sirul yang juga bekas anggota Unit Tindakan Khas.

 

Dalam kiriman SMSnya kepada Malaysiakini, Khalid berkata pihaknya juga akan mengenalpasti sama ada Sirul bertindak keluar daripada negara ini selepas mahkamah rayuan membebaskan beliau.

 

“Sebaik sahaja mahkamah mengeluarkan waran tangkap, kami akan menjejakinya dan memaklumkan rakan kami di luar negara,” katanya. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.