Perletakan Jawatan Dibuat Pada Masa yang Tepat – Leya

Petaling Jaya – Pelakon, pengacara dan penyampai radio Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid atau Leya mengakui perletakan jawatannya pada bulan lepas di stesen radio Hot FM adalah satu tindakan yang tepat pada masanya.

Dengan kelahiran bayi lelakinya pada 9 Januari lalu, Leya berharap agar dapat memberikan tumpuan penuh buat anak-anaknya.

“Perletakan jawatan saya dikira dibuat pada masa yang tepat, apabila saya bersalin juga beberapa hari selepas hari terakhir saya di Hot FM iaitu 31 Disember.

Jadi, selepas ini saya dapat tumpukan lebih perhatian buat bayi yang baru lahir ini dan juga anak kembar saya” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas Leya, selepas ini dia lebih senang membuat kerja secara freelance dan tidak pasti sama ada akan meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio di stesen lain.

“Belum ada tawaran lagi untuk ke mana-mana, buat masa sekarang saya dalam proses berpantang dan selepas ini akan berkerja secara freelance,” katanya yang sudah berkhidmat di stesen radio berkenaan selama lapan tahun.

Bercerita mengenai bayinya yang merupakan cucu dan cicit lelaki pertama dalam keluarganya, Leya mengakui wujud rasa kekok.

“Adik beradik Leya semua perempuan dan anak kembar saya juga perempuan. Saya akui kelahiran bayi lelaki pertama ini buat saya jadi kekok kerana tak ada pengalaman langsung. Lebih-lebih lagi dari segi penjagaannya yang berbeza dengan cara penjagaan bayi perempuan.

Malah, kecoh juga bila saya dan adik beradik yang lain sewaktu mahu menukar lampin anak. Semua bagai tak pasti bagaimana sepatutnya harus dilakukan,” cerita Leya yang juga merupakan kakak kepada pelakon Sharifah Amani, Sharifah Aleysha dan Sharifah Aryana.


Bayi lelaki tersebut merupakan anak pertama Leya hasil perkahwinan keduanya bersama Muhammmad Azam Abdullah atau Miko.

Leya dan Miko telah diijabkabulkan pada Januari 2014 di masjid al-Mukarramah di Sri Damansara.

Leya mempunyai sepasang anak kembar Aza Ameena dan Asha Ameena hasil perkahwinan terdahulu. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.