Perjumpaan Rahsia Antara Aktivis PKR, Chegubard Dan Ahmad Maslan?

Kuala Lumpur – Aktivis PKR yang lantang mendedahkan kepincangan perjalanan pemilihan parti Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard didakwa mengadakan ‘perjumpaan sulit’ dengan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

 

Menurut sumber yang menghubungi SuaraTV sebentar tadi perjumpaan sulit itu diadakan di pejabat Timbalan Menteri Kewangan petang Selasa.

 

“Wallahi… saya melihat sendiri kehadiran Chegubard di pejabat Tok Mad (Datuk Ahmad Maslan) petang tadi.

 

“Persoalannya mengapa Ketua Penerangan UMNO mahu mengadakan perjumpan sulit dengan individu yang pernah mencerca UMNO?” soalnya dengan nada marah.

 

Sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu turut memberikan amaran kepada Ketua Penerangan UMNO itu agar jangan mengutip ‘sampah sarap’ pembangkang yang sering memaki UMNO.

 

“Ingat Tok Mat… Bard ni (pernah) cerca UMNO sebelum ni, apa yang tak dimakinya tentang UMNO.

 

Tapi dalam politik UMNO ini ada juga jenis pemimpin yang suka kutip sampah sarap pembangkang ni!” ujarnya lagi.

 

Sementara itu, sumber dalaman pejabat Timbalan Menteri Kewangan menafikan berlakunya perjumpaan sulit seperti yang didakwa itu.

 

Beliau ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi mendakwa isu yang dibangkitkan itu, merupakan spekulasi politik semata-mata.

 

“Sepanjang pengetahuan saya tiada sebarang pertemuan sulit yang diadakan pada hari ini, ia hanya spekulasi politik semata-mata” ujarnya pula yang turut enggan mendedahkan identitinya.

 

Karier politik CheguBard di dalam pakatan pembangkang dilihat semakin pudar apabila lembaga disiplin PKR dalam mesyuarat Biro Politik sebelum ini membuat keputusan untuk mengantung keahliannya berkuatkuasa serta  serta-merta dan diberi surat tunjuk sebab.

 

Ia ekoran daripada tindakan Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu yang sering membuat beberapa kenyataan akhbar mengkritik Timbalan Presiden, Azmin Ali dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

 

Malah Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Zafril Eusoff dalam satu kenyataan sebelum ini turut mengesa Chegubard berhenti menjadi duri dalam daging atau keluar dari parti dan menyertai UMNO.

 

Menurutnya tindak-tanduk yang dilakukan sebelum ini lebih banyak merosakkan parti dan hubungan baik antara pimpinan tertinggi PKR.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.