Pakatan Rakyat Bakal Rebah, Ketegangan Antara DAP Dan PAS Semakin Memuncak

Kuala Lumpur – Ketegangan antara DAP dan PAS kini dilihat semakin memuncak terutamanya apabila membincangkan isu Hudud. Keadaan tersebut jelas menunjukkan bahawa tahaluf siyasi sukar dilaksanakan kerana mereka mempunyai ideologi berbeza.

 

Menurut Utusan Malaysia, perjuangan DAP lebih kepada sosialis demokrat yang secara terang-terangan anti negara Islam dan Hudud, manakala PAS tetap dengan perjuangannya menegakkan negara Islam.

 

”Walaupun suatu ketika PAS bersetuju memperjuangkan negara berkebajikan ternyata ia hanya digunakan oleh DAP dan PKR untuk maksud politik masing-masing,” lapor akhbar itu.

 

Menurut Utusan, DAP perlukan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk strategi jangka panjang melemahkan majoriti umat Melayu.

 

Sebab itu ujarnya, apa saja yang disetujui oleh Anwar akan disokong oleh Lim Guan Eng hatta kepada penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, Guan Eng mendapat dukungan Anwar.

 

Sementara itu, PKR pula menurut Utusan, menggunakan PAS untuk melemahkan UMNO dan umat Melayu tetapi permainan kotor PKR berjaya dihidu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila beliau mula memahami siapa sebenarnya Anwar dalam gerak kerja politik.

 

”Hadi semacam mula renggang dengan Anwar, apabila tidak datang ke Mesyuarat Kepimpinan Pakatan Pembangkang lebih enam bulan,” lapor Utusan dan menambah,

 

”Kalau alasan tidak sihat diberikan Hadi boleh pergi ke luar negara kerana urusan tertentu. Ia menyebabkan Guan Eng lantang mengkritiknya dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang membuat kenyataan kebimbangannya nasib pakatan itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.”

 

Ironinya, menurut Utusan, Enakmen Hudud PAS Kelantan meminta kerjasama Kerajaan Pusat, menyebabkan Anwar dan Guan Eng bertambah menyinga dengan kerjasama ini tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan kepimpinan pakatan.

 

Malah Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din menyatakan isu hudud ini adalah nyawa perjuangan PAS. Kalau itulah juga pendirian PAS, jalan keluar Hadi-Guan Eng mengenai Hudud menjadi bertambah payah. Apakah ini bakal menjadi sebab PAS akan berundur daripada pakatan pembangkang dan tahaluf siyasi hanya tinggal kenangan?

 

Baik DAP-PKR-PAS janganlah berpura-pura menjalin tahaluf siyasi ibarat tidur sebantal mimpi lain-lain dan sehubungan itu Utusan meminta, berpijaklah di bumi nyata bahawa DAP ada strategi jangka panjang dalam politik Malaysia. Anwar tahu itu tetapi hajatnya untuk menjadi Perdana Menteri masih belum padam dan memerlukan dukungan DAP.

 

”PAS tahu cara politik Anwar dan sikap DAP terhadap negara Islam dan hudud. Tapi apakan daya musuh yang ingin ditumbangkan UMNO masih bertahan. Bukan mustahil UMNO dan BN bakal memenangi PRU-14 dengan majoriti dua pertiga,” dakwanya.

 

Menurut Utusan, sekian lama pakatan pembangkang mengambil sikap membenci UMNO dan kerajaan dengan tuduhan dan persepsi melampau, kini pembangkang sedang menghadapi masalah dalaman yang serius, seumpama mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

 

Banyak masa dan hayat perjuangan PAS terbazir kerana silap mencari regu perjuangan, disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.

 

”Lebih-lebih lagi PAS sedang menghadapi krisis dalaman yang serius antara golongan ulama dan profesional hingga melahirkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma),” jelasnya.

 

Utusan menyatakan, walaupun kepimpinan ulama PAS memberi amaran supaya ahlinya jangan menyertai Pasma tetapi ahli PAS masih berjinak-jinak dengan Pasma, dan pemimpin Pasma terus mengkritik Hadi dan kepimpinan ulama.

 

”Apakah Pasma bakal menggantikan PAS dalam pakatan takdirnya mereka disingkirkan daripada PAS?” soal Utusan.

 

Sebab itu akhbar rasmi UMNO itu mengemukakan soalan, apa yang berlaku seharusnya membawa kepimpinan PAS berfikir dengan mendalam dan jujur bahawa nasib orang Melayu dalam politik akan terus tercabar sekiranya PAS tidak mengambil langkah bijaksana.

 

”Cukuplah dengan politik emosi dan persepsi dan kembalilah kepada politik realiti dengan jiwa besar ke arah menyatukan umat Melayu. Penyatuan umat Melayu bukan bermakna kita harus bersikap rasis dan zalim terhadap bukan Melayu.”

 

“Sekian lama orang bukan Melayu memiliki kebebasan beragama, menikmati merit dalam pencapaian pendidikan dan memiliki ekuiti besar dalam ekonomi.”

 

Menurut Utusan, sekiranya penyatuan terjadi, masa tidak terbuang dengan isu-isu yang saling melemahkan kesatuan umat, dan menambah, Malaysia memerlukan perimbangan yang bijaksana supaya setiap kaum memiliki ekuiti dan peluang seimbang supaya tidak wujud jarak penguasaan ekonomi yang terlalu jauh.

 

”Bayangkan jika PAS bersama dalam usaha ini (penubuhan JK Teknikal Jenayah Syariah menjadi contoh) tidaklah lagi kita menagih sokongan daripada orang lain untuk memerintah negara,” ujarnya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.