NGO Percaya Kemusnahan Alam Penyumbang Terbesar Bencana Banjir

KUALA LUMPUR (Bernama) — Bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri di pantai timur dan utara semenanjung ketika ini meninggalkan kesan yang amat dahsyat bukan sahaja terhadap harta benda malah kesan psikologi terhadap mangsa.

 

Kelantan yang paling teruk terjejas memaksa lebih 100,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan dengan ada di antara mereka kehilangan tempat kediaman kerana dibadai arus deras.

 

Umum mengetahui negara khususnya negeri di pantai timur akan mengalami Monsun Timur Laut yang biasanya bermula pada awal November dan berakhir pada Mac.

 

Bulan November, Disember dan Januari adalah bulan yang mempunyai hujan maksimum yang lazimnya akan menyebabkan berlakunya banjir di kawasan rendah.

 

Namun kejadian banjir luar biasa sehingga ada yang menyifatkan kesan kemusnahannya sebagai sama dengan kemusnahan akibat tsunami itu membawa persoalan bagaimana ia boleh berlaku.

 

Punca sebenar banjir luar biasa itu masih belum diketahui dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun menyatakan bahawa kerajaan hanya akan melakukan ‘post-mortem’ secara mendalam setelah situasi banjir pada masa ini kembali pulih.

 

Namun, bagi beberapa pertubuhan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar, bencana banjir itu berlaku ekoran tangan-tangan manusia yang tiada belas kasihan terhadap alam sekitar sehingga menyebabkan satu malapetaka yang dahsyat.

 

PENTINGNYA MENJAGA ALAM SEKITAR

 

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata pihaknya telah berulang kali membangkitkan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar khususnya hutan kepada pihak kerajaan negeri dan media bagi mengelak malapetaka seperti banjir.

 

Kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap tanah di negeri masing-masing perlu menekankan penjagaan hutan dan tidak mementingkan pendapatan dalam masa singkat semata-mata.

 

“Katakan mereka (kerajaan negeri) mengaut untung RM20 juta daripada aktiviti pembalakan tetapi jika berlaku bencana banjir seperti sekarang ini yang merosakkan harta benda, ia memerlukan berbilion ringgit untuk memulihkan semula keadaan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

 

Sekiranya aktiviti pembalakan perlu dilakukan, pihak bertanggungjawab harus mengekalkan kembali ekosistem di kawasan berkenaan dengan segera.

 

Contohnya, di Kanada, setiap pokok balak yang ditebang perlu diganti dengan penanaman lapan hingga 10 batang pokok baharu bagi mengekalkan kembali ekosistem.

 

“Jangan kita tunggu bala bencana dah datang, baru kita hendak bertindak,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Sekitar Datuk Abdul Malek Yusof berkata pembalakan secara berleluasa tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan mempunyai kesan riak dalam jangka masa panjang.

 

“Pembalakan selalunya akan membawa serba serbi termasuk lumpur dari kawasan tinggi apabila hujan, ini akan menghakis bukit tinggi menjadi rendah dan seterusnya menghapuskan kawasan tadahan air yang menyebabkan air terus membanjiri kawasan rendah,” katanya.

 

BANJIR LUAR BIASA MUNGKIN BERULANG

 

Lebih membimbangkan, beberapa aktiviti pembalakan haram kini dikesan di Tasik Chini, Pahang dan beberapa kawasan di Kedah yang memungkinkan berulangnya kejadian banjir luar biasa.

 

“Minggu lepas saya membuat lawatan di Tasik Chini, Pahang dan saya sendiri melihat berlakunya pembalakan secara haram di sana yang kini sudah menyebabkan Tasik Chini itu sendiri berlumpur airnya,” kata Abdul Malek.

 

Beliau berkata kawasan berkenaan berisiko tinggi berlaku banjir jika lumpur berterusan memenuhi dasar tasik berkenaan ekoran aktiviti pembalakan.

 

Malah, kawasan tinggi di situ menjadi gondol kerana tidak dilakukan aktiviti penanaman semula.

 

Antara kawasan lain, Abdul Malek menarik perhatian pembalakan berleluasa juga dilihatnya berlaku di beberapa kawasan di Kedah seperti Padang Terap dan di lereng-lereng banjaran Titiwangsa.

 

Beliau berkata masalah pembalakan itu tidak patut dipandang ‘cliche’ atau dipolitikkan kerana ia adalah satu masalah yang nyata dan bahaya jika tidak dibendung.

 

“Memandang ke hadapan, saya mahu menggesa pandangan politik diketepikan dalam hal ini dan kerajaan pusat dan negeri bekerjasama bagi menyelesaikan masalah pembalakan.

 

“Kalau boleh wujudkan satu suruhanjaya balak bagi memantau kegiatan pembalakan,” katanya.

 

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa pembalakan bukanlah satu-satunya penyebab banjir malah pengurusan sistem saliran dan pembuangan sampah sarap juga boleh mengundang bencana berkenaan.

 

PERANAN MASYARAKAT

 

Dalam pada itu, Presiden Environmental Protection Society Malaysia (EPSM) Nithi Nesadurai berkata tahap kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar masih tipis sehingga mengundang pelbagai masalah alam sekitar.

 

Beliau berkata masyarakat Malaysia perlu mengetahui kepentingan kewujudan hutan-hutan semulajadi dan kesan daripada pembalakan serta penerokaan tanah haram.

 

“Apabila pokok ditebang, ia menyebabkan hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan dan menyebabkan air mengalir dengan banyak dan cepat ke sungai. Sungai pula tidak mampu menampung air tersebut dan ia mengakibatkan banjir.

 

“Semua orang tahu mengenai fenomena ini, namun tiada siapa yang memberikan perhatian,” katanya.

 

Nithi berkata pemusnahan hutan untuk proses pembandaran juga harus diberi penekanan yang lebih oleh kerajaan negeri memandangkan penggunaan konkrit dalam tanah juga boleh mengakibatkan banjir.

 

Shariffa Sabrina pula mahu masyarakat bertindak dengan lebih berani dengan bangkit mempertahankan khazanah alam sekitar melalui bantahan secara beramai-ramai sekiranya terdapat aktiviti pembalakan di kawasan masing-masing.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.