‘Malaysia Jadi Taliban Jika JAKIM Promosi Keganasan’

Kritikan demi kritikan muncul ke atas peguam hak asasi, Eric Paulsen yang kini disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 atas kenyataan mempersoalkan tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

 

Antaranya, menteri kabinet, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang membandingkan dakwaan Paulsen dengan realiti yang diperhatikannya di negara ini.

 

Abdul Rahman berkata, Malaysia sudah menjadi negeri “Taliban” sekiranya benar Jakim mempromosi keganasan.

 

“Selama 51 tahun, Malaysia ada 2,652 khutbah Jumaat. Jika apa yang Eric katakan itu betul, Malaysia sudah menjadi negara Taliban.

 

“Tiada orang Islam yang menjadi ganas selepas mendengar khutbah Jumaat. Tapi jika kita tidak berhati-hati, ramai yang akan jadi (ganas) selepas mendengar khutbah Eric.

 

“Khutbah di Wilayah Persekutuan tiada apa sangat berbanding dengan khutbah berapi-api di sebuah negeri yang ada kaitan dengan kepentingan politik Eric Paulsen,” kata Abdul Rahman di Twitter.

 

Selain itu, penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot menyifatkan Paulsen “jahil undang-undang” sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan mendakwa Jakim mempromosi ekstremisme setiap hari Jumaat.

 

“Eric merupakan seorang peguam tetapi jahil tentang undang-undang.

 

“Malaysia merupakan negara majmuk berbilang agama, sepatutnya beliau lebih berhati-hati apabila mengutarakan pendapat, di samping mendalami tentang hikmah dan mesej khutbah Jumaat sendiri apabila mahu berbicara.

 

“Islam merupakan agama yang selamat, sejahtera, makmur dan seimbang. Kita menolak sepenuhnya fahaman ekstemisme dan khutbah Jumaat bukan jalan untuk merancang provokasi,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

 

Turut lantang dalam isu itu ialah anak kepada presiden PAS, Khalil Abdul Hadi yang menggesa Paulsen meminta maaf sekiranya kenyataan peguam itu bermaksud untuk menghina umat Islam.

 

Paulsen ketika dihubungi Malaysiakini semalam menolak untuk ‘minta maaf’ berhubung isu tersebut kerana masih dalam sisasatan polis.

 

Peguam itu telah memadam tweet berkenaan Ahad lalu selepas mendapat reaksi banyak pihak. – Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.