LIMA 2015 Jadi Platform Pasarkan Pendekatan Kesederhanaan Malaysia

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Penganjuran Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) kali ke-13 pada tahun ini akan menampilkan perbezaan kerana selain daripada fokus utama kepada segmen ketenteraan, pameran itu juga akan dijadikan platform memasarkan pendekatan kesederhanaan yang dipelo­pori oleh Malaysia.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dalam konteks dunia tanpa sempadan yang menyaksikan wujud peningkatan ancaman ekstremis, penganjuran terhadap pameran pertahanan dwitahunan terbesar di ASEAN itu tidak boleh lagi dilakukan seperti mana edisi sebelum ini iaitu hanya memberi fokus kepada ketenteraan.

 

Bagaimanapun beliau me­negaskan, selaras dengan konsep LIMA iaitu untuk industri pertahanan, LIMA 2015 juga tidak akan lari daripada menjadi medan bagi Malaysia memperkasakan pemilikan aset ketenteraan, tetapi langkah itu dibuat secara berhemah dengan mengambil kira soal ancaman pada masa hadapan serta kemampuan kewangan kerajaan.

 

Sambil menjanjikan LIMA 2015 bakal menjadi acara terbaik berbanding edisi-edisi sebelum ini, Hishammuddin berkata, sehingga kini sebanyak 481 syarikat ae­ro­angkasa dan maritim dari 35 negara sudah menempah 92 peratus daripada keseluruhan ruang pame­ran, iaitu peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding tahun 2013.

 

“Betapa pentingnya bagi Malaysia untuk membuktikan kepada dunia terutamanya selaku Pengerusi ASEAN iaitu menyampaikan mesej-mesej jelas dalam soal kesederhanaan melalui wadah LIMA 2015,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan laman sesawang dan apresiasi LIMA 2015 di Wisma Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jene­ral Datuk Seri Roslan Saad.

 

Ditanya tentang kemungkinan kerajaan akan membuat penambahan aset ketenteraan baharu pada LIMA kali ini selepas mengambil kira kekangan yang terpaksa dihadapi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa menjayakan Ops Murni bagi membantu mangsa banjir terburuk di pantai timur, Hishammuddin berkata, usaha ke arah itu sedang dipertimbangkan.

 

Dalam perkembangan berasi­ngan, beliau meminta semua pihak menunggu siasatan lengkap badan antarabangsa berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17, yang ditembak jatuh di Ukraine dan tidak mudah membuat spekulasi setelah pemberontak pro-Rusia mendedahkan nama serta gambar juruterbang yang didakwa menembak MH17.

 

“Siasatan sedang dijalankan oleh jawatankuasa antarabangsa yang turut dianggotai Malaysia. Negara kita diwakili Peguam Negara, PDRM dan Kementerian Pengangkutan. Jadi penting untuk semua pihak menunggu keputusan siasatan berkenaan daripada mendengar pelbagai spekulasi yang sebenarnya tidak dapat di­sahkan pun,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.