Kpop Bawa Budaya Negatif, Harus Diharamkan Di Malaysia

Kuala Lumpur – Kehadiran artis luar negara khususnya K-pop ke negara ini pastinya suatu yang dinantikan ramai peminat mereka. Bagi gadis, mereka lebih teruja paras rupa kacak artis yang diminati dibandingkan faktor perbezaan bahasa.

 

Namun, kemunculan kumpulan sensasi B1A4 di Kuala Lumpur kelmarin seharusnya menjadi pengajaran pada semua peminat K-pop apabila kontroversi muncul selepas insiden seorang peminat dicium salah seorang anggota kumpulan berkenaan sewaktu persembahan, Lets Fly With B1A4 and Acer.

 

Apa yang mengejutkan, aksi gadis Melayu bertudung bukan saja rela dicium atau dipeluk artis terbabit tetapi ia menjadi bahan kecaman ramai pihak menerusi laman sosial, Facebook dan Twitter.

 

Memulakan persembahan kira-kira jam 6.30 petang, anggota kumpulan ini iaitu Jinyoung, Baro, Gongchan, CNU dan Sandeul muncul di pentas mendendangkan lagu hits seperti OK, Beautiful Target, Lonely, dan If.

 

Namun, kontroversi dimaksudkan tercetus apabila artis ini mengadakan sesi permainan bersama peminat bertuah. Seramai lima peminat dipilih secara rawak dan masing-masing berpasangan dengan lima idol ini.

 

Dalam sesi permainan diberi nama Pop Parody, pasangan ini dihendaki melakonkan semula adegan romantik seperti drama bersiri popular Korea.

 

Ramai peminat hadir sebenarnya menyifatkan permainan yang diadakan itu keterlaluan apabila semua cabaran melibatkan sentuhan termasuk berpeluk dan bercium. Atas faktor itu, ada peminat meminta tidak mahu meneruskan cabaran tersebut tetapi bersedia melakukan dengan cara lebih ringkas dan tidak terlalu melampui batas.

 

Bagaimanapun kesediaan seorang peminat berpasangan dengan Baro mengejutkan ramai peminat selepas Baro mencium dahi peminat itu dan tanpa rasa segan silu, peminat tersebut juga merelakan dahinya dicium sebelum bertindak memeluk erat penyanyi berkenaan.

 

Aksi itu turut menimbulkan rasa marah dan bengang dalam kalangan peminat. Bukan kerana mereka cemburu tidak mendapat peluang seperti itu tetapi ia kelihatan sangat tidak sesuai apatah lagi peminat itu bertudung dan insiden itu berlaku dalam persembahan ‘live’ di hadapan ribuan penonton.

 

Menerusi laman sosial, ramai yang mengkritik aksi peminat berkenaan. Malah, ada juga yang menyalahkan Baro yang dianggap sengaja mengambil kesempatan.

 

Sebetulnya, Baro sudah beberapa kali bertanya kepada peminat itu sama ada boleh mereka meneruskan cabaran itu atau tidak. Namun, mungkin perasaan terlalu teruja membuatkan peminat itu hilang pedoman dan sanggup mengaibkan diri sendiri di atas pentas.

 

Difahamkan, kebanyakan artis K-pop tidak mudah melakukan adegan bersentuhan dengan peminat apatah lagi diberitahu pihak pengurusan mereka sendiri untuk menjaga penampilan mereka ketika di pentas.

 

Namun, dalam situasi ini peminat tidak pasti sama ada penganjur iaitu TGM Events, ada atau tidak berbuat demikian.

 

Walaupun penonton dikejutkan dengan aksi panas Baro kucup dahi peminat, persemabahan mereka tidak terhenti di situ. Selesai sesi permianan, B1A4 kembali menghiburkan penonton dengan lagu seperti Pretty, Solo Day, A Glass of Water, What’s Happening, Baby Good Night dan berakhir jam 8 malam itu menerusi lagu You Are My Girl.

 

Sementelah kontroversi berlaku pada konsert B1A4 memberi kesan positif dan negatif, ada komen di Twitter mencadangkan supaya konsert K-pop diharamkan di negara ini.

 

Bagi peminat sejati K-pop, ramai yang bengang dengan komen dan kritikan terutama kata-kata kesat yang dilemparkan terhadap seluruh peminat K-pop.

 

Malah, mereka berasakan tidak adil jika konsert K-pop diharamkan hanya kerana insiden tersebut sedangkan selama ini konsert K-pop lain berjalan lancar. Timbul persoalan jika konsert K-pop diharamkan, bagaimana pula dengan konsert artis antarabangsa lain yang juga mengundang kontroversi.

 

Cuma kali ini situasi di konsert BIA4 ini terjadi membabitkan peminat muslim tetapi tidak bermakna peminat K-pop bersetuju dengan apa yang berlaku sebaliknya mereka juga kesal dan meluahkan rasa kecewa di laman sosial.

 

Di sebalik hiburan, kontroversi yang terjadi ini membuatkan banyak pihak membuka mata dan perkara sebegini diharapkan tidak akan berulang pada masa akan datang agar peminat K-pop terus berpeluang menonton persembahan artis mereka di sini. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.