KPN Beri Amaran Jangan Politikkan Kes Eric Paulsen

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran agar tidak mempolitikkan tindakan pasukannya yang menahan peguam hak asasi Eric Paulsen mengikut Akta Hasutan 1948.

 

Tanpa menamakan mana-mana individu, beliau berkata golongan tersebut tidak harus “terlalu angkuh” dalam menggunakan kebebasan bersuara.

 

“Kita semua maklum bahawa setiap kebebasan itu ada batasannya.

 

“Saya ingin memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak mempolitikkan atau memanipulasi isu tangkapan ke atas Eric Paulsen sehingga boleh menjejaskan keselamatan awam.

 

“Jangan lakukan sesuatu dengan niat jahat dan jangan sesekali bersekongkol untuk membangkitkan sentimen perkauman dan keagamaan,” kata Khalid dalam kenyataannya hari ini.

 

Setakat ini beberapa individu dan NGO telahpun tampil dengan kenyataan berhubung penahanan ke atas Paulsen, termasuk MP Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin.

 

Shamsul Iskandar merujuk satu kenyataan Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menggesa siasatan dijalankan ke atas Paulsen. Naib presiden PKR itu berkata, tindakan berkenaan “tidak wajar, tidak bertanggungjawab, dan memprejudiskan siasatan polis”. – Kuala Lumpur Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.