Iktibar Tragedi Berdarah Charlie Hebdo

Serangan ke atas pejabat penerbitan akhbar satira, Charlie Hebdo di Paris, mengorbankan 12 orang, Rabu lalu, sekali lagi menjejaskan nama baik Islam sebagai agama yang sentiasa menyeru kebaikan dan perdamaian.

 

Kerana penyerangnya beragama Islam dan dikaitkan pula dengan kumpulan pengganas, lagi cepatlah mereka yang sentiasa memusuhi Islam dan umatnya, meniupkan api kebencian terhadap Islam.

 

Sementara kita bersama umat Islam di seluruh dunia turut mengutuk serangan itu dan bersimpati dengan keluarga mangsa kejadian, kita juga percaya tindakan berterusan Charlie Hebdo menyiarkan satira dan karikatur yang menghina Islam, menjadi punca utama serangan itu.

 

Kecenderungan akhbar yang amat taksub dengan kebebasan bersuara itu menghina Islam bermula sejak tahun 2006 lagi apabila ia menerbitkan semula karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan oleh sebuah akhbar Denmark di tengah tengah kemarahan umat Islam ketika itu.

 

Malah, pada November 2011, pejabat Charlie Hebdo pernah dilempar bom dan dibakar tetapi tiada yang terkorban. Serangan itu dipercayai berkaitan dengan laporannya mengenai kontroversi buku Submission tulisan Michel Houellebecq, yang meramalkan Islam akan menguasai Perancis pada tahun 2022.

 

Akhbar itu juga pernah mengubah logo muka depannya kepada ‘Syariah Hebdo’ dan menampilkan gambar Nabi Muhammad tertawa. Bagaimanapun, provokasi paling jahat akhbar itu ialah pada tahun 2012 apabila ia menyiarkan karikatur kononnya Nabi Muhammad berbogel sehingga menimbulkan bantahan daripada banyak negara Islam.

 

Sensitiviti masyarakat

 

Ketidakpekaan Charlie Hebdo terhadap sensitiviti masyarakat tidak terhad kepada umat Islam sahaja. Akhbar itu pernah menyiarkan karikatur berkaitan kepercayaan penganut ajaran Kristian. Satu lagi provokasi terhadap agama Kristian yang disiarkannya ialah karikatur Jesus ketika bayi, keluar dari celah kangkang ibunya.

 

Bagi pendokong Charlie Hebdo, yang mula diterbitkan pada tahun 1970, tiada yang boleh menghalang mereka menyiarkan apa sahaja atas nama kebebasan bersuara. It is forbidden to forbid (dilarang untuk melarang) menjadi moto mereka dalam menyiarkan sesuatu yang dianggap sensitif.

 

Berbeza dengan masyarakat Barat dan bukan Islam yang mungkin boleh menerima konsep kebebasan seperti itu dan tersenyum dengan provokasi sedemikian rupa, bagi umat Islam, agama, Tuhan dan Nabi mereka adalah sesuatu yang suci dan bukannya bahan gurauan.

 

Cemar kesucian agama

 

Walaupun majoriti umat Islam turut tersinggung apabila ada pihak lain mencemarkan kesucian agama, mereka tetap berpegang kepada ajaran Islam itu sendiri yang menganjurkan kesederhanaan dalam setiap pendekatan.

 

Begitupun seperti penganut agama lain, pasti ada golongan yang taksub atau menterjemahkan ajaran agama mengikut acuan sendiri. Unsur pelampau, keganasan dan ketaksuban wujud dalam mana-mana agama dan bangsa.

 

Kewujudan kumpulan yang dilabelkan sebagai pengganas, sama ada IS, al-Qaeda atau Mujahidin, walaupun tindakan mereka tidak mencerminkan ajaran Islam, membuktikan ada yang sanggup mati atas nama mempertahankan kesucian agama.

 

Kita bersetuju dengan pandangan beberapa pihak supaya rakyat Malaysia, yang berbilang bangsa dan agama tetapi masih mengecapi kedamaian, mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di kota Paris itu.

 

Dua perkara yang paling mudah diteladani daripada peristiwa itu ialah kebebasan bersuara tanpa kawalan undang-undang dan provokasi berterusan terhadap Islam seperti semakin kerap berlaku sekarang, dibimbangi lambat laun membawa padah. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.