Haji Hadi Masih Relevan, Ahli-Ahli Masih Memerlukan – AJK Pas Pusat

Kuala Lumpur – Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih lagi relevan untuk terus menggalas jawatan Presiden PAS, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad.
Penegasan itu dibuat bagi menepis cadangan bekas Exco Pemuda PAS Pusat Zulhazmi Shariff agar Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai presiden pada pemilihan parti 2015-2017 yang akan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.
“Pada kami tuan guru haji Hadi masih relevan lagi, pada dia (Zulhazmi Shariff) terpulang kepada dialah.
“Pada kami dan juga sebahagian besar perwakilan di kalangan ahli-ahli masih memerlukan lagi tuan guru haji Hadi Awang,” kata Idris kepada Antarapos.
Idris dalam pada itu menegaskan Abdul Hadi bukan liabiliti kepada PAS sebaliknya Ahli Parlimen Marang itu berjaya membuktikan dirinya tokoh politik yang hebat, apabila membawa perubahan demi perubahan dalam parti sejak 2002.
Untuk rekod, Abdul Hadi mula menerajui PAS selepas mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada 2002.
Tambah Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ini, pengalaman, kepimpinan dan kekuatan Abdul Hadi masih diperlukan dalam PAS justeru pandangan yang dilontar Zulhazmi adalah meleset sama sekali.
“Masih memerlukan  sebab beliau masih lagi mempunyai kewibawaan, kewarasan, ilmunya, hujahnya dan juga pengalaman,” katanya.
Zulhazmi juga direkodkan sebagai berkata Abdul Hadi tidak wajar bertanding jawatan presiden parti memandangkan beliau adalah anggotai Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi dalam PAS.
Ujarnya kerusi presiden adalah jauh lebih rendah daripada jawatan dalam jawatankuasa tersebut, justeru Abdul hadi perlu menolaknya.
Pada masa sama, perkara itu akan mengelak berlakunya pertindihan dan  kepentingan ketika menjalankan tugas, kata Zulhazmi lagi.
“Saya cadangkan Abdul Hadi melepaskan jawatan presiden dan mengambil alih tugas Nik Aziz yang dilihat semakin uzur. Ketokohan dan ilmu yang ada pada Abdul Hadi dan diiktiraf dunia sehingga dimartabatkan sebagai Naib Ketua Ulama Dunia, melayakkan beliau dilantik sebagai Mursyidul Am PAS,” ujarnya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.