DBKL Cadang Hentikan Operasi Taman Rusa

Kuala Lumpur – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang untuk menghentikan operasi Taman Rusa yang terletak di dalam kawasan Taman Botani Perdana, sebagai langkah menaik taraf taman rekreasi itu.

 
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata proses menamatkan operasi Taman Rusa yang dibangunkan pada 1980-an itu akan dilakukan secara berperingkat.

 
Beliau berkata rancangan untuk menutup Taman Rusa itu juga berikutan beberapa pokok berusia lebih 50 tahun mati dan rosak disebabkan haiwan tersebut.

 
“Rusa tidak sesuai lagi, bila hendak asah tanduk, haiwan itu akan ke pokok-pokok dan kikis pokok itu, itu yang menyebabkan pokok semua rosak, sebab itu saya buat keputusan untuk keluarkan semua rusa ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembentukan Kerjasama Taman Botani.

 
Ahmad Phesal berkata kesemua 52 ekor rusa itu mungkin akan diberi kepada pihak universiti tempatan untuk tujuan penyelidikan dan penternakan, bagaimanapun, kandang kancil di dalam Taman Rusa itu akan terus dikekalkan.

 

Beliau berkata DBKL mungkin akan membangunkan ‘Pusat Spesies Tumbuhan Yang Jarang Ditemui’ di tapak Taman Rusa itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.