Charlie Hebdo Teruskan Menyiar Edisi Khas Karikatur Nabi Muhammad

Paris – Edisi terbaharu majalah mingguan Charlie Hebdo, yang pejabatnya telah diserang pengganas pada minggu lalu, akan terus menyiarkan karikatur Nabi Muhammad, kata peguamnya semalam.

 

Edisi khas tersebut yang bakal dikeluarkan Rabu ini, juga akan diterbitkan dalam 16 bahasa untuk pembaca sedunia, ujar salah seorang kolumnisnya, Patrick Pelloux.

 

Peguam Charlie Hebdo, Richard Malka, memberitahu kepada sebuah stesen radio tempatan bahawa edisi itu akan secara ‘terang-terangan’ mempersenda Nabi Muhammad semata-mata untuk membuktikan bahawa para pekerja penerbitan itu tidak akan tunduk pada tekanan kumpulan ekstremis.

 

Dua penyerang yang telah mengorbankan 12 orang dalam keganasan pada Rabu lalu, termasuk lima kartunis dan tiga lagi pekerja lain, mendakwa mereka telah ‘membalas dendam atas nama Nabi Muhammad’ sewaktu meninggalkan pejabat Charlie Hebdo.

 

Tindakan itu dikatakan mewakili kemarahan di beberapa negara Islam atas siaran kartun yang menghina Nabi Muhammad dalam majalah tersebut.

 

Penyerang dua beradik, Cherif dan Said Kouachi yang telah dibunuh Jumaat lalu mendakwa bahawa mereka merupakan anggota militan Al-Qaeda di Yaman.

 

Rangkaian pejabat Charlie Hebdo pernah diserang pada tahun 2011 kerana menyiarkan kartun watak Nabi Muhammad, namun tiada nyawa yang terkorban.

 

Para pekerjanya juga pernah menerima ancaman bunuh daripada kumpulan radikal Islam sejak tahun 2006, apabila syarikat itu mencetak semula kartun daripada akhbar Jyllands-Posten atas alasan kebebasan berekspresi.

 

Pekerja Charlie Hebdo sejak Jumaat lalu bekerja dari pejabat akhbar Liberation kerana pejabat mereka yang masih ditutup untuk siasatan polis. Mereka menggunakan peralatan yang dipinjamkan oleh organisasi media lain.

 

Sejuta naskhah edisi khas terbaharu Charlie Hebdo sedia diedarkan di luar Perancis. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.