Bantuan Banjir Bukti Hubungan Akrab Malaysia-China

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) — Bantuan banjir yang disumbangkan kerajaan China kepada rakyat Malaysia membuktikan hubungan persahabatan di antara kedua-dua negara kekal akrab, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Sambil menzahirkan penghargaan kepada kerajaan China, beliau menyifatkan sumbangan itu akan diterima dengan begitu baik oleh rakyat Malaysia.

 

Najib pada Selasa menerima beberapa bentuk sumbangan bantuan mangsa banjir daripada Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, di sini.

 

Sumbangan itu melibatkan 2,950 khemah bersaiz 12 meter persegi dan 36 meter persegi, 220 set generator iaitu 20 unit berkuasa 5 kilowatt manakala 200 unit berkuasa 3 kilowatt, 400 pam air berkapasiti 1.1 kilowatt, 45 gulung hos air dan 60 unit pembersihan air berkapasiti 500 liter sejam.

 

Bantuan lain merangkumi 400 buah rumah sementara yang akan turut disumbangkan kerajaan China tidak lama lagi.

 

Najib menarik perhatian bahawa semua bantuan yang disalurkan negara itu adalah dalam tiga fasa dengan fasa pertama diterima hari ini manakala fasa kedua dan ketiga bakal menyusul dalam masa terdekat.

 

Beliau berkata proses pemulihan di kawasan terjejas akibat banjir dijangka disiapkan kurang daripada tempoh dua tahun memandangkan kerajaan telah mewujudkan program khas untuk membina rumah sementara dan rumah kekal.

 

“Saya telah berikan arahan, di kawasan di mana ada yang memiliki tanah sendiri, kita akan bina rumah kekal,” katanya.

 

Jelasnya, terdapat program membabitkan pembinaan 1,000 unit rumah kos rendah di Gua Musang dan kini dalam proses mengenal pasti penduduk yang layak mendudukinya.

 

Mengenai jumlah kos pemulihan akibat banjir, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang mengkaji dan mengumpul semua maklumat berkaitan bencana tersebut sebelum jumlah sebenar didedahkan.

 

Sementara itu, Huikang berkata kerajaan China telah memutuskan untuk membantu Malaysia kerana hubungan yang kukuh antara kedua-dua negara.

 

“Kita tidak boleh membiarkan Malaysia bersendirian menghadapi keadaan ini. Oleh itu kerajaan kita telah memutuskan bersama-sama Malaysia untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

 

“Jika kerajaan Malaysia memerlukan bantuan, kami bersedia untuk melibatkan diri kerana kita adalah sekeluarga, kita adalah bersaudara,” katanya.

 

Huikang berkata berdasarkan pengalaman China dalam menangani bencana alam, kerajaannya bersedia untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia dan bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.

 

Beliau menegaskan bahawa kakitangan kedutaan beliau melawat Kelantan dua kali dengan yang terbaru dua hari lalu dan menyumbangkan beberapa peralatan sekolah termasuk pakaian seragam kepada pelajar-pelajar yang terlibat banjir. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.