Abby Salahkan Industri Hiburan, Felixia Tidak Suka Disentuh Lelaki

Kuala Lumpur – Aktres kontroversi, Abby Abadi menyalahkan industri hiburan tanah air kerana terlalu mendedahkan masyarakat kepada kemungkaran, sehingga menjadi budaya ‘tak apa’ pada hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas isu sensasi yang hangat diperkatakan kini, iaitu aksi gadis melayu bertudung dipeluk artis kpop, baru-baru ini.
“Artis-artis pun ramai yang memberikan perhatian pada isu ni. Nampak ada yang tumpang sedih melihat keadaan musa mudi ISLAM ini
sampai tahap begini. Tapi dalam tak sedar mereka sendiri sekian lana buat benda yang sama. “Tepuk air dalam dulang, terpecik di muka sendiri”.
“Sebab dah jadi budaya di Malaysia. Jelas nyata di Malaysia, hiburan tidak membawa ISLAM bersama. Sekian lama. Bersentuhan tanpa batasan, berpeluk sakan, cium dahi, cium pipi, berkemban bagai dalam tv, dalam filem atas stage.
“Suami orang ke, janda duda ke, siapa pun tak ape. Atas dasar profesionalism katanya,” ujar Abby melalui laman Instagramnya.
Abby yang sebelum ini sering mencuri tumpuan ekoran lontaran pendapatnya dalam pelbagai isu berkata beliau bertindak membuat teguran itu kerana lebih dahulu melalui zaman kegemilangannya sebagai seorang artis.
“Saya nampak sebab saya lalu jalan ini dulu…maafkan saya. Saya menginatkan kerana DIA,” ujar kepada bekas isteri pelakon popular, Norman Hakim.
Selain Abby, seorang lagi aktres manis berhijab, Felixia Yeap mengulas isu yang sama.
Ujar Felixia, sejak sebelum memeluk agama Islam dan ketika masih berkecimpung dalam dunia seksi peragaan, beliau tidak gemar disentuh mana-mana lelaki.
Malah beliau akan menegur mana-mana lelaki yang mahu menyentuhnya biarpun sekadar untuk mengambil gambar kenang-kenangan.
“Dari dulu (time saya tak berhijab dan masih seorang model berimej seksi) sampailah sekarang (dah berhijab dan dah jadi seorang Muslimah). Memang tak suka lelaki sentuh/peluk walaupun hanya sekadar untuk bergambar kenangan.
“Tangan2 yang sempat “menjalar” kat bahu pun saya tepis dan kadang2 siap tegur kuat2, “Sorry sir, NO TOUCHING. (zaman modeling sebelum Islam),” ujar Felixia menerusi laman sosial Facebooknya.
Justeru beliau berkata amat pelik dan hairan mengapa gadis bertudung begitu teruja ketika dipeluk dan memeluk artis kpop yang dijemput membuat persembahan di ibu negara, baru-baru ini.
“Dah adik-adik bertudung tu gembira je bagi peluk, siap terloncat-loncat lagi nak peluk artis-artis tu semula…aduhhhh.
“Memang la artis-artis Kpop tu terima dengan hati dan tangan terbuka je. Alangkah bagusnya kalau adik2 yang bertudung tu cakap “NO” kat artis Kpop tu atas pentas bila diorang nak peluk. Terus jadi dakwah…atas pentas pula tu. MashaaAllah!,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun Felixia memohon masyarakt di luar sana berhenti daripada menghentam gadis-gadis tersebut.
“Mohon jangan hentam adik2 kita tu lagi dah. Setiap orang berhak untuk belajar dari kesilapan lalu. Saya yang dulu pun pernah buat salah banyak. Dari masa ke semasa pun ada juga dosa dan salah. Saya TAK ALIM.
“Lebih baik kita doakan untuk mereka untuk sedar apa yang mereka telah lakukan “kurang enak”. InshaaAllah. Allah itu Maha Pengampun, ujarnya lagi.
Kelmarin, satu video yang memaparkan beberapa gadis Melayu dipeluk dan dicium ahli kumpulan B1A4 ketika persembahan di ibu kota baru-baru ini mengundang kritikan hebat pelayar internet.
Rata-rata mendakwa gadis-gadis tersebut mencemar imej Islam kerana membenarkan diri mereka diperlakukan sedemikian hanya kerana taksub kepada kumpulan pop Korea itu.
Gadis-gadis itu dipersalahkan kerana mengenepikan persoalan hukum, dan tidak kurang ada yang menyifatkan artis K-pop berkenaan ‘tidak bersalah’ kerana mereka mungkin tidak memahami ajaran Islam dan sensitiviti penganutnya di negara ini.
Video berdurasi 3.21 minit itu jelas memperlihatkan beberapa gadis Melayu kelihatan teruja apabila berada di atas pentas bersama kumpulan berkenaan, sehingga bertindak memeluk anggota kumpulan berkenaan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.