2 Tahun Berturut-Turut Ronaldo Diumum Pemain Terbaik Dunia

Zurich – Christano Ronaldo secara rasminya diumumkan sebagai pemain terbaik dunia bagi tahun kedua berturut-turut, setelah dianugerahkan Ballon d’Or 2014, pada Isnin.

 

Bintang Real Madrid dan Portugal ini telah menewaskan dua calon lain, iaitu pemain Barcelona Lionel Messi dan penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer.

 

Ronaldo, 29, membawa pulang anugerah itu buat kali ketiga dalam kerjayanya, selepas turut memenanginya buat kali pertama pada tahun 2008.

 

Hanya beliau dan Messi telah mencatatkan nama sebagai penerima anugerah tersebut, dengan pemain Argentina itu mendapat penghormatan untuk empat tahun berturut-turut, dari 2009 hingga 2012.

 

Ronaldo memperolehi 37.66 peratus undian, manakala Messi di tempat kedua dengan 15.76 peratus diikuti Neuer dengan 15.72 peratus.

 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengundi saya, ” kata Ronaldo ketika menerima anugerah itu.

 

“Ia merupakan tahun yang luar biasa dan saya ingin meneruskan apa yang sedang saya lakukan kini.

 

Beliau juga menambah, ” Saya mahu menjadi salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman.”

 

Ronaldo menjaringkan 61 gol tahun lepas untuk kelab dan negara dan mencipta rekod dengan menjaringkan 17 gol dalam pusingan terakhir Liga Juara-juara, sekali gus membimbing Real Madrid meraih gelaran ke-10 mereka.

 

Selain itu, beliau telah menjaringkan gol dalam separuh akhir menentang Bayern Munich dan ketika perlawanan akhir menentang Atletico Madrid.

 

Pada musim ini, beliau telah menjaringkan 26 gol dalam 16 perlawanan La Liga, serta tambahan lima gol dalam enam perlawanan Liga Juara-juara.

 

Meskipun demikian, beliau melalui kempen Piala Dunia yang suram, apabila hanya menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan, dengan Portugal tersingkir dalam peringkat kumpulan selepas gagal menewaskan Jerman dan Amerika Syarikat. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.