2 Anggota UTK Orang Terakhir Dilihat Bersama Altantuya – Mahkamah Persekutuan

Kuala Lumpur – Kali terakhir sesiapapun melihat wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu masih hidup ialah bersama dengan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), kata Mahkamah Persekutuan apabila menjatuhi hukuman mati ke atas kedua-duanya kerana membunuh model sambilan dan penterjemah berumur 28 tahun itu.

 

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata penyerahan si mati seperti yang didakwa oleh Cif Inspektor Azilah Hadri di ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman mengesahkan testimoni Lans Koperal Rohaniza Roslan bahawa Azilah adalah seorang daripada dua orang yang terakhir, selain daripada Koperal Sirul Azhar Umar, berada bersama si mati semasa beliau masih hidup.

 

Beliau berkata Azilah Hadri dan Sirul Azhar tidak mengemukakan sebarang keterangan atau penjelasan yang boleh menimbulkan sebarang keraguan bahawa mereka merupakan orang yang terakhir bersama si mati.

 

“Dalam kes ini bukan sahaja jenayah kejam dilakukan di kawasan terpencil namun mayat si mati diletupkan tanpa dapat dikenali. Hanya serpihan tulang ditemui,” kata Suriyadi dalam penghakimannya setebal 88 halaman.

 

Beliau berkata kehadiran dua anggota polis di rumah penganalisis politik Abdul Razak Baginda pada 19 Okt, 2006 apabila beliau dibawa, disahkan oleh keterangan mendiang P. Balasubramaniam, yang merupakan penyiasat persendirian yang diupah Abdul Razak.

 

“Di Bukit Aman, PW7 (Rohaniza) meninggalkan responden (Azilah dan Sirul Azhar) bersama dengan si mati. Itulah kali terakhir sesiapapun melihat si mati masih hidup dan bersama dengan responden,” katanya dalam keputusannya.

 

Suriyadi berkata dengan membuktikan bahawa dua anggota polis itu berada di dalam kereta bersama-sama dan kemudiannya berakhir di Puncak Alam, bukan sahaja memberikan kedua-dua orang itu dengan masa, ruang dan peluang untuk merumuskan perbuatan jenayah namun tidak mengendahkan kenyataan Azilah bahawa pembabitannya berakhir di Bukit Aman dan pembabitan Sirul Azhar berakhir di luar rumah Abdul Razak.

 

Suriyadi berkata rekod peranti tag pintar diambil daripada Sirul Azhar juga mengesahkan bahawa keretanya telah masuk dan keluar plaza tol Kota Damansara iaitu laluan biasa ke Puncak Alam, tempat kejadian jenayah.

 

Beliau berkata selipar berlumuran darah ditemui di dalam kereta Sirul Azhar dan penemuan barang kemas dalam jaketnya yang ditemui di rumahnya hanya boleh membawa kepada kesimpulan yang amat menarik – beliau mendapatkannya daripada si mati di Puncak Alam.

 

“Selipar yang ditinggalkan di dalam kereta sementara barang kemas disimpan di dalam rumah.. dan kenderaan untuk membawa barangan ini sudah pasti kereta kedua responden (Sirul Azhar), sambil menambah seseorang perlu berada di bukit Puncak Alam terlebih dahulu dalam usaha mendapatkan barangan itu daripada si mati.

 

Katanya log panggilan yang membuktikan bahawa Azilah telah membuat panggilan dari Puncak Alam menunjuk kepada kesimpulan menarik bahawa dia berada di bukit Puncak Alam bersama Sirul Azhar.

 

“Kereta kedua responden menjadi kenderaan yang digunakan untuk membawa responden dan si mati ke Puncak Alam,” kata Suriyadi yang menambah bahawa menurut andaian secara logik, kedua-dua anggota polis itu mesti telah ada di sana lebih awal untuk berjaya menunjukkan lokasi kejadian jenayah dengan kereta Sirul Azhar sebagai mod pengangkutan.

 

Hakim itu berkata alibi Azilah bahawa dia tidak pernah berada di tempat kejadian pada masa itu tidak disokong dan hanya semata-mata penafian atas tuduhan bunuh itu.

 

Beliau berkata Azilah tidak mungkin berada di Bukit Aman atau Wangsa Maju pada masa itu kerana log panggilan menunjukkan dia telah membuat panggilan di tempat kejadian jenayah.

 

“Penemuan lokasi tempat kejadian jenayah dan dan kemunculan barangan tertentu yang dimiliki oleh si mati kerana maklumat yang diperoleh daripada Azilah dan Sirul Azhar,” katanya.

 

Beliau juga berkata Azilah dan Sirul Azhar secara sukarela membawa polis ke tempat kejadian yang merupakan sebuah tempat yang jauh dan terpencil dan kawasan bukit yang tinggi, di mana mayat itu ditemui di tempat itu, yang kemudiannya terbukti adalah si mati.

 

“Mereka adalah anggota polis dari unit pasukan khas dan dijangka tidak mudah ditakut-takutkan, apatah lagi tidak ada keterangan yang dikemukakan oleh mereka telah ditakut-takutkan, didorong atau diseksa dalam sebarang bentuk oleh pasukan penyiasat,” katanya.

 

Suriyadi berkata kenyataan pembelaan tidak bersumpah Sirul Azhar tidak memberikan banyak makna dan juga tidak konsisten dengan bukti lain yang meyakinkan dikemukakan di mahkamah.

 

Beliau berkata penemuan barang-barang kepunyaan si mati, selipar berlumuran darah dalam kereta Sirul Azhar dan barang kemas si mati ditemui di rumahnya dan keretanya dikesan di plaza Kota Damansara dalam perjalanan ke Puncak Alam, telah sama sekali mencemarkan kenyataan tidak bersumpahnya bahawa penglibatan beliau berakhir di luar rumah Abdul Razak itu, dan oleh itu meninggalkannya dengan tanpa pembelaan.

 

Suriyadi berkata DSP Musa Safri yang tidak dipanggil sebagai saksi dan khidmat pesanan ringkas (SMS) antara Musa dan Abdul Razak dan Azilah yang tidak dikemukakan tidak menyebabkan ketidakadilan kepada responden.

 

Pada masa itu, Musa merupakan pembantu peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

 

Beliau berkata mahkamah berpuas hati bahawa SMS itu semata-mata pengesahan secara semula jadi dan yang terbaik, berguna kepada Abdul Razak hanya semata-mata kerana ia mengesahkan keterangan yang dikemukakan dua orang saksi pendakwaan bahawa sebelum itu Abdul Razak mempunyai hubungan dengan si mati dan dia meminta pertolongan Musa.

 

“Oleh kerana tidak ada pertikaian serius tentang hubungan ini, kami dengan itu tidak dapat melihat berapa banyak butiran yang boleh DSP Musa berikan yang boleh menyumbang kepada pembelaan responden.

 

“Dipanggil DSP Musa, apatah lagi mengemukakan SMS, tidak akan menjejaskan sekecilpun, bukti yang berkaitan dengan hubungan Abdul Razak sebelum itu, ” katanya.

 

Suriyadi berkata mahkamah juga memerhatikan bahawa Musa tidak pernah mengarahkan Azilah tentang bagaimana untuk membantu Abdul Razak tetapi hanya diberitahu untuk bertemu dengan beliau dan Azilah selepas itu telah bertindak atas budi bicara dan perasaannya sendiri. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.