Oleh Zihan Zari
TEMERLOH – Sebanyak 319,193 biji nanas MD2 telah dihasilkan menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Lanchang dekat sini.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, dari tanah seluas lebih 3000 hektar TKPM Lanchang, hampir 400 ekar telah dibangunkan dengan tanaman nanas varieti MD2 melibatkan syarikat pengusaha tempatan.
Beliau berkata, LPNM telah mengadakan lawatan kerja ke TKPM baru-baru ini yang menumpukan pada projek tanaman nanas MD2 bawah PPP Felda .
Menurutnya, projek ini melibatkan tiga pertubuhan koperasi peneroka Felda iaitu Felda Damar, Felda Lakum dan Felda Lembah Klau.
Menurutnya lagi, model perniagaan yang digunapakai ini melibatkan 3 pihak iaitu, FELDA sebagai pemilik dana dan tanah, syarikat Aqina Fruits Sdn Bhd sebagai operator manakala badan Koperasi sebagai peserta.
“Pada masa yang sama, Agrobank turut terlibat sebagai pengurus dana dan pemberi pinjaman ‘operational expenses’.
“Projek ini telah bermula pada 4 Julai tahun lepas dan sudah mula mengeluarkan hasil tuaian pertama pada Julai lalu
“Keluasan bertanam terkini adalah 190.5 ekar manakala keluasan berhasil ialah sebanyak 32 ekar,”katanya dalam kenyataan pada Selasa.
“Pengeluaran hasil akan berterusan mengikut penjadualan berperingkat bagi memenuhi permintaan.
“Apa yang menarik, Aqina Fruits Sdn Bhd juga sebenarnya sedang menjalankan R&D untuk mencari kalibrasi bagi mendapatkan kualiti MD2 terbaik dalam tempoh penuaian hasil yang lebih singkat.
“Tempoh tuaian biasa varieti MD2 memakan masa minimum 14 bulan, ”katanya lagi.
“Projek tanaman nanas MD2 bawah PPP ini adalah sangat baik kerana ia dapat memberi pendedahan, hasil tambahan serta faedah sampingan kepada para pesertanya dari kalangan anggota koperasi.
“Antaranya, mereka dapat menikmati dividen tahunan sekitar RM1000 bagi setiap ketua keluarga menerusi program ini.
“Ini membuktikan bahawa, projek tanaman nanas mampu memberikan impak mobiliti sosial kepada masyarakat menerusi peningkatan pendapatan,”ujarnya.
“Ia sejajar dengan semangat Malaysia Madani yang berhasrat meningkatkan peluang ekonomi dan taraf hidup masyarakat luar bandar.
“LPNM berharap model ini dapat digarap lebih meluas oleh para pemain industri nanas di negara kita kerana ia boleh memberi limpahan rezeki buat rakyat serta pekebun kecil yang telah dilibatkan, ”ujarnya lagi. – SUARA.TV