Turkiye aku datang!

- Advertisement -

Penerbangan penulis sejauh 8,336 kilometer ke bumi Turkiye kali ini bukan hanya mahu menikmati pemandangan indah dari udara dengan menaiki belon panas semata-mata.

Sebaliknya perjalanan pada Oktober lalu berniat menyusuri Empayar Uthmaniyah iaitu antara empayar tamadun Islam yang termasyhur apabila pernah menakluk Eropah sehingga benua Afrika.

Mengenai Empayar Uthmaniyah, perlu diketahui kota pentadbiran pemerintahan di zaman itu bukan Istanbul.

Lokasi terbaharu untuk jelajah di Turkiye kali ini adalah daerah agak asing bagi pengunjung di Malaysia yang dikenali sebagai Sogut. Sogut adalah pusat pentadbiran terawal Empayar Uthmaniyah.

Buktinya di Sogut ada makam Ertugrul Gazi iaitu bapa kepada pengasas empayar Uthmaniyah yang bernama Osman Gazi. Kota itu juga adalah tempat kelahiran Osman Gazi.

Makam berkenaan dikawal tentera seperti makam ulama dan pahlawan. Untuk sampai ke lokasi terbabit anda perlu menggunakan bas pelancongan dan perjalanan dari Istanbul ke Sogut memakan masa tiga hingga empat jam.

Satu lagi destinasi unik boleh dilawat tidak jauh dari kawasan pemakaman adalah satu perkampungan tradisi yang dinamakan kampung Cumalikezek.

Kampung ini mendapat status pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) kerana tapak warisannya sebagai perkampungan yang pernah wujud sejak zaman Uthmaniyah.

Dikatakan usia kampung mencecah 700 tahun dan kesannya boleh dilihat kerana bangunan lama selain struktur jalan yang masih menggunakan batu yang kasar berbanding tar.

Sebenarnya keadaan jalan sedemikian adalah merujuk kepada pengangkutan utama di zaman Uthmaniyah iaitu berkuda.

 

BURSA tempat pemerintahan Empayar Uthmaniyah.
BURSA tempat pemerintahan Empayar Uthmaniyah.

 

Contoh boleh dipelajari mengenai aktiviti ekonomi dan masyarakat di sini semuanya berpusat di kawasan masjid.

Jika diteliti monumen iaitu bangunan kompleks berkemungkinan menempatkan masjid, madrasah, dapur dan bilik mandinya, begitu suasana ketika pemerintahan pemimpin Islam di era Uthmaniyah.

Sebelum tiba di Bursa, lokasi unik pada pengamatan penulis adalah Pamukkale antara yang mesti dilawati pelancong.

Nama Pamukkale itu sendiri bermaksud istana kapas merujuk kepada pemandangan serba putih melatari kawasan yang juga lokasi mata air panas.

Tidak seperti kolam air panas di Malaysia, di sini lebih alami kerana ia daripada sumber air panas yang kehilangan karbon dioksida dan mengalir menuruni lereng, meninggalkan endapan kalsium karbonat putih.

Menariknya, sebanyak 17 kawah terbentuk dalam teres bertingkat iaitu dalam ketinggian 200 meter, yang memberi peluang kepada anda melakukan aktiviti merendam kaki atau mandi.

Jika berkunjung pada musim sejuk, dikatakan sebahagian kawah membeku, namun mata air panas tetap terasa hangat.

Tidak jauh dari lokasi Pamukkale, terletak peninggalan lama kerajaan Rom, Hierapolis. Banyak tinggalan masih ‘bersisa’ untuk dilihat termasuk bangunan seakan-akan kuil, tembok dan tiang selain kubur lama.

Lokasi itu penting untuk dikunjungi bagi melihat peradaban zaman Rom yang masih tersisa menerusi penjelajahan segenap kota kuno itu selain menjadi naskhah unik dalam akaun media sosial masing-masing.

Sampai di Bursa, wajib juga anda bertandang ke Masjid Grand Bursa atau Ulu Cami Bursa yang dibina pemerintah keempat empayar itu, Yildirim Beyazid.

Seni bina unik pada masjid ini ada kisah tersendiri! Yildirim Beyazid berjanji membina 20 masjid jika dia dan tenteranya memenangi pertempuran dengan tentera salib (Battle of Nicopolis).

Atas nasihat bendahara kerajaan, daripada 20 masjid ditukar kepada 20 kubah kerana kekangan kewangan.

Pada masa sama, pengunjung turut berpeluang melihat sendiri keunikan lain termasuk air pancuran di tengah-tengah yang turut menjadi tempat jemaah lelaki mengambil wuduk.

Selain Bursa, penulis turut mengunjungi Ankara yang menjadi pusat pemerintahan sekular Mustafa Kamal Atartuk yang juga penanda kepada kejatuhan Empayar Uthmaniyah.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat