JERUSALEM: Penyokong kelab terkemuka Israel, Beitar Jerusalem, yang terkenal dengan fahaman anti Arab bergaduh sesama sendiri selepas pelabur dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) membuat pelaburan ke atas pasukan berkenaan.
Keluarga diraja Abu Dhabi, Sheikh Hamad bin Khalifa Nahyan, menandatangani perjanjian perkongsian bernilai AS$92 juta (RM372 juta) dengan pemilik kelab, Moshe Hogeg.
Bagaimanapun, dalam sesi latihan hari ini, penyokong yang menyokong pelaburan berkenaan diserang sekumpulan penyokong yang dikenali sebagai ‘La Familia’ yang menentang perjanjian berkenaan.
“Polis menangkap empat orang berusia di antara 18 hingga 29 tahun yang terbabit dalam kekacauan ketenteraman awam,” kata jurucakap polis, Micky Rosenfeld.
Penyokong Beitar Jerusalem terkenal dengan sejarah anti Islam dan anti Arab, apabila kumpulan ‘La Familia’ dikenali di atas nyanyian sokongan menghina Nabi Muhammad SAW.
Mereka sebelum ini menjadi satu-satunya kelab Israel yang tidak membariskan pemain berketurunan Arab.
Bagaimanapun, senario berkenaan sudah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pada 2017 mereka menerima anugerah di atas menentang isu perkauman – Harian Metro