Didakwa Hina Peribadi Anwar, AMK Selangor Gesa PKR Pecat Zuraida

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menggesa PKR memecat Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin, yang dilihat semakin berani menghina pemimpin tertinggi parti.

Pengarah Komunikasi AMK negeri, Mohd Khairool Ngadon, berkata PKR sudah banyak berkompromi dengan Zuraida dan tiba masanya tindakan tegas diambil terhadap pemimpin terbabit.

“PKR tidak perlu lagi berkompromi dengan tingkah laku jelek dan biadap ditunjukkan Zuraida yang bukan saja seorang Naib Presiden parti, tetapi turut memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kami tidak dapat menerima tindakan Zuraida yang keterlaluan menghina peribadi presiden dan beberapa pimpinan parti, termasuk memperlekeh pimpinan muda parti.

“Malah, sikap Zuraida juga secara jelas menjejaskan imej PKR di mata umum,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

BH sebelum ini melaporkan penganjuran majlis makan malam bertemakan Wawasan Kemakmuran Bersama oleh beberapa kepemimpinan PKR di ibu negara malam Ahad lalu, dilihat menjadi pentas menyerang dan mengganyang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada majlis makan malam itu, Zuraida dilaporkan lantang mencaci dan menghina beberapa pemimpin PKR termasuk Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi MPN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Selain itu, beberapa pemimpin kanan PKR lain turut memburukkan Anwar pada majlis makan malam dianjurkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin dan beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) termasuk Zuraida tidak hadir pada hari terakhir Kongres PKR di Melaka, tetapi menghadiri majlis makan malam berkenaan.

Berikutan itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebelum ini juga turut menggesa Zuraida wajar dikenakan tindakan disiplin kerana mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin tertinggi parti.

Beliau berkata, serangan Zuraida terhadap keperibadian Fahmi dan Farhash sangat mendukacitakan serta tidak menunjukkan perilaku selayaknya sebagai seorang menteri Kabinet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site! Open

Close