‘Saya Terima Masalah Legasi Atas Bahu Saya’ – Najib

KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak terima segala beban masalah yang timbul hasil daripada peninggalan legasi Perdana Menteri terdahulu yang ditanggungnya semenjak menjadi Perdana Menteri sehingga kini.

 

Mengambil contoh rungutan orang ramai berhubung kenaikkan harga tiket ERL sebanyak RM20 menjadi RM55, Najib berkata perjanjian tersebut dimeterai pada 1997 sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

“Syarikat ERL yang disebut sebabkan rakyat marah kerana naik RM35 kepada RM55. Tinggi tetapi perjanjian ini ditandatangani 1997 lagi, bukan setahun dua ini. Konsesi jangka masa panjang.

 

“Dalam perjanjian itu, di mana syarikat YTL menguasai perjanjian yang saya sifatkan sebagai berat sebelah kerana harga bergantung kepada jangkaan trafik. Setiap 5 tahun naik.

 

“Kita akan buat sedaya upaya kita, saya dengar rintihan rakyat dan kehendak perwakilan agar kerajaan lebih prihatin beberapa perkara yang dalam kemampuan kita. Saya terima masalah legasi atas bahu saya tetapi kita akan betulkan. Saya tahu rakyat marah,” kataya ketika menggulung ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno 2015 di sini.

 

Menurut Najib, kerajaan sudah menghalang kenaikan tersebut selama 14 tahun dengan melibatkan kos sebanyak RM2.9 bilion.

 

Jelas Najib, kerajaan tidak mampu untuk menampung kenaikkan tersebut ketika ini disebabkan kejatuhan harga minyak dunia yang menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM30 bilion.

 

“Banyak lagi kita hendak buat tetapi realitinya kita ada kekangan. Bila harga minyak jatuh, tahun depan lebih 30 bilion hasil berkurangan.

 

“Walaupun kita berdepan dengan faktor luaran yang tidak menentu, yang kita harus bangga ekonomi kita masih berkembang antara yang tertinggi di dunia,” katanya.

 

Mengulas mengenai kenaikan harga tiket ERL, Najib telah mengumumkan beberapa langkah mengurangkan beban pengguna seperti pelajar yang menggunakan kad diskaun siswa 1 Malaysia diberikan diskuan sebanyak 30 peratus.

 

“Bagi pengguna awam sektor Putrajaya, syarikat ERL sudah setuju untuk kurangkan harga pas bulanan. KTMB saya sudah arahkan supaya pelajar berumur 7 hingga 18 tahun diberikan diskaun 50 peratus,” katanya.

 

Tambah Najib, KTMB juga akan membuat beberapa pengumuman dalam masa terdekat berkaitan dengan diskaun-diskaun lain. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.