‘Menang Piala Malaysia, Ayah Bagi Cuti Satu Selangor Esok!’ – Abdul Rani

KUALA LUMPUR – “Selangor menang Piala Malaysia, ayah bagi cuti satu Selangor esok,” itu kata Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhubbah Malaysia (MJMM) atau lebih popular dengan panggilan Ayahanda Rani Kulup berhubung ramalan final Piala Malaysia di mana Selangor menang menentang Kedah di Stadium Shah Alam, malam ini.

 

Ayahanda Rani menjangkakan pasukan Gergasi Merah akan menewaskan skuad Lang Merah dengan jaringan 2-1.

 

“Selangor akan jaring dulu kemudiannya Kedah balas balik tapi pada minit-minit akhir perlawanan gol kemenangan akan dijaringkan oleh pemain Gergasi Merah.

 

“Ayah tak dapat pergi pergi ke Stadium Shah Alam sebab ada urusan tetapi akan menonton dan beri sokongan penuh dari rumah.

 

“Buat pasukan Selangor, ayah ucapkan Kipidap, dongibab dan kalau Selangor menang, Ayah Rani Kulup bagi cuti satu Selangor esok,” ujarnya dengan nada berseloroh kepada The Rakyat Post di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK), Datuk Mahfuz Omar pula yakin pasukan kesayangannya itu iaitu skuad Lang Merah akan membuat kejutan pada perlawanan akhir malam ini.

 

“Saya yakin bahawa Kedah akan menewaskan Selangor dengan jaringan selesa iaitu 2-0 dan menjangkakan gol tersebut akan dijaringkan oleh pemain yang tidak akan dijangka oleh pertahanan Gergasi Merah untuk jaringkan gol.

 

“Saya akan bersama-sama ribuan penyokong Kedah akan memberikan sokongan penuh di Stadium Shah Alam nanti,” jelasnya kepada The Rakyat Post.

 

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan 13 Disember 2015 sebagai hari cuti umum sekiranya pasukan bola sepak Kedah memenangi perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

 

Menurut Mukhriz, perkara tersebut telah dibuat setelah dibincang oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan dipersembahkan bagi perkenan Yang Teramat Mulia Jemaah Pemangku Sultan Kedah. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.