Larang Orang Islam Masuk AS: Papan Iklan Donald Trump Di Dubai Diturunkan

SEBUAH firma yang membangunkan projek pembangunan dengan kerjasama Donald Trump di Dubai telah menurunkan nama dan gambar bilionair itu dari projek hartanahnya ketika kontroversi yang melanda Trump baru-baru ini yang menggesa larangan masuk orang Islam ke Amerika Syarikat (AS).

 

Kenyataan calon presiden AS bagi parti Republikan itu mencetuskan kemarahan seluruh dunia yang disifatkan sebagai tindak balas terhadap insiden tembakan rambang di California membabitkan dua penyerangan beragama Islam.

 

Portal Mirror melaporkan bahawa ketiadaan jenama Trump dalam projek pembangunan bernilai AS$6 bilion (RM25.96 bilion) itu berikutan kebimbangan di Timur Tengah terhadap kenyataan berkenaan.

 

Trump mempunyai perjanjian bersama Damac Properties untuk melesenkan nama dan imejnya bagi sebuah projek pembangunan dan dua kompleks golf.

 

Sebuah papan iklan di luar projek pembangunan Akoya by Damac sebelum ini menunjukkan gambar Trump memakai topi warna merah dengan menghayunkan kayu golf.

 

Bagaimanapun pada Jumaat, iklan tersebut telah diturunkan manakala satu lagi iklan bagi projek pembangunan ‘The Beverly Hills of Dubai’ masih kekal didirikan di sebelahnya.

 

Ia kini digantikan dengan iklan yang baharu.

 

Selain itu, serpihan huruf-hurut nama Trump juga telah diturunkan dari tembok di tanah pasir di kawasan projek pembinaan itu.

 

Damac Properties enggan mengulas mengenai penurunan nama dan iklan Trump.

 

Terdahulu syarikat itu memberitahu bahawa ia tidak akan memberi komen mengenai sebarang agenda peribadi atau politik Trump. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.