Berita Ronaldinho Datang Ke Shah Alam Palsu

KUALA LUMPUR – Kehangatan final Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini semakin dirasai dengan pelbagai perkhabaran yang menjadi viral dalam alam maya semalam.

 

Antaranya, berita kehadiran bintang lagenda bola sepak Brazil, Ronaldinho ke Malaysia.

 

Bagaimanapun, kedatangan Ronaldinho yang menjadi viral itu selepas gambar penyerang Brazil itu dikongsi di laman sosial Facebook dan Twitter didapati palsu kerana pemain terbaik FIFA itu hanya dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura semalam untuk melancarkan Akademi Bola Sepak Ronaldinho di Singapura.

 

Bekas juara Piala Dunia Brazil itu disambut sejurus mendarat oleh orang ramai kira-kira 100 penyokong.

 

Menariknya, pengguna laman sosial terutamanya peminat pasukan hijau kuning mendakwa kehadiran Ronaldinho ke Malaysia adalah demi memberikan sokongan kepada rakannya, Sandro da Silva Mendonca yang kini berkhidmat untuk Kedah FA.

 

Dalam pada itu, Ronaldinho turut dilaporkan bertemu dengan bekas pemain bola sepak Singapura dan Ketua Jurulatih LionsXII, Fandi Ahmad di Kota Singa.

 

Kedatangan Ronaldinho ke Singapura turut dikongsinya di laman Twitter miliknya dengan kapsyen, “tenaga yang baik semasa ketibaan saya di Singapura! Ia adalah sangat baik untuk menerima perhatian ini dan kasih sayang!” – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.