Video: 1MDB Alu-Alukan Siasatan, Bagi Sangkal Tohmahan

Kuala Lumpur – Sayap pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada petang Jumaat tampil memberikan reaksi segera terhadap tindakan Naib Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan yang membuat laporan polis, berhubung pelbagai dakwaan berkaitan aktiviti kewangan syarikat berkenaan.

Syarikat itu melalui satu kenyataan ringkas menyatakan, ia sedar laporan polis mengenai 1MDB telah dibuat awal hari ini, oleh seorang ahli politik di Pulau Pinang.

Namun, disebabkan belum melihat kandungan laporan polis berkenaan, maka 1MDB tidak mengetahui dengan tepat bentuk aduan yang dikemukakan, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyatakan kesediaan 1MDB untuk disiasat mana-mana pihak berkuasa dan menganggap ia peluang untuk membuktikan semua tohmahan yang dilemparkan terhadapnya, tidak benar.

“Bagaimanapun, kami yakin bahawa ia tidak mempunyai asas perundangan.

“Kami mengalu-alukan sebarang penyiasatan ke dalam urusan kami serta peluang untuk menyangkal tuduhan berniat jahat,” tegas 1MDB dalam kenyataan itu.

Terdahulu, pada petang Jumaat, Khairuddin membuat laporan terhadap 1MDB mengenai dakwaan wujud aktiviti kewangan meragukan, termasuk pinjaman besar-besaran yang heboh diperkatakan, terutama oleh pembangkang.

Ketika ditemui di luar Balai Polis Dang Wangi, di ibu negara, selepas membuat laporan itu, beliau berkata, 1MDB gagal memberikan penjelasan betul kepada orang ramai, berhubung dakwaan mengenai isu bon, ejen, aset serta hutang yang dibangkitkan pemimpin pembangkang, termasuk Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.

Khairuddin berkata, beliau yang bertindak sendirian tanpa dipaksa mana-mana pihak, akan membuat laporan sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), minggu depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.