Tewas Pada Malaysia, Vietnam Mahu Polis Siasat, Dakwa Ada Unsur Rasuah

Hanoi – Menang 1-2 di Kuala Lumpur, kalah 4-2 di Hanoi!

Hakikat itu menimbulkan kehairanan buat pihak berkuasa bola sepak Vietnam sehingga mendorong mereka mengeluarkan kenyataan meminta polis menyiasat, jika wujud sebarang unsur rasuah dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 antara skuad negara berkenaan menentang Harimau Malaya.

Pasukan tuan rumah itu mengecewakan jutaan penyokong di gelanggang sendiri, selepas kalah kepada Malaysia 4-2 dan tersingkir dengan agregat 5-4, semalam.

“VFF (Persekutuan Bola Sepak Vietnam) akan segera minta bantuan polis menyiasat perlawanan ini,” kata Timbalan Pengerusi VFF, Nguyen Xuan Gu yang dipetik agensi berita antarabangsa AFP.

Beliau berkata, pihaknya percaya anggota skuad kebangsaan negara itu seperti sengaja mempersembahkan prestasi buruk, sehingga membolehkan gawang Vietnam bolos empat kali –  semuanya dalam separuh masa pertama, termasuk jaringan sendiri daripada Dinh Tien Thanh.

“Jaringan yang terbolos dalam gawang tuan rumah tidak dapat diterima, terutama ketika beraksi di halaman sendiri.

“Kami akan menghukum secara serius, jika kami dapati ada unsur-unsur seperti ini dalam perlawanan ini,” kata Gu.

Skuad Vietnam sebelum ini pernah berdepan beberapa siri skandal rasuah, baik di pentas antarabangsa mahupun dalam kejohanan tempatan Liga-V.

Antaranya pada 2007, dua pemain bola sepak negara itu dipenjarakan, manakala enam lagi digantung permainan, selepas didapati terbabit rasuah, ketika perlawanan bawah 23 tahun menentang Myanmar, pada 2005.

November lalu, Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) bersetuju membenarkan syarikat data yang berpangkalan di Switzerland, memantau 18 perlawanan Piala AFF untuk membendung gejala mengatur perlawanan.

Awal hari ini, agensi berita Reuters melaporkan, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh turut terkejut dengan aksi hambar Vietnam dalam saingan separuh akhir kedua, Piala AFF Suzuki itu, semalam.

Dollah tidak menyangka benteng lawan akan melakukan banyak kesilapan, sebaliknya beranggapan anak didiknya akan berdepan laluan sukar di Stadium My Dinh.

Malaysia menang 4-2, atas agregat 5-4, untuk bertemu Thailand dalam aksi final pada Rabu dan Sabtu depan.

Sementara itu, rakan sejawat Dollah di Vietnam, Toshiya Miura yang jelas hampa dengan persembahan hambar anak didiknya di halaman sendiri berkata, beliau akan memikul tanggungjawab atas kekalahan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.