Surendran Kutuk Wisma Putra Panggil Duta AS Jelaskan Berhubung Isu Akta Hasutan

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran mengkritik Wisma Putra atas keputusannya memanggil Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Joseph Y Yun untuk memberi penjelasan mengapa kerajaan perlu mengekalkan Akta Hasutan 1948.

Dalam respons berhubung dakwaan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman semalam mengenai Akta Hasutan diperlukan untuk mencegah tindakan menghasut yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama, Surendran berkata, ia adalah satu pembohongan dan usaha yang tidak boleh diterima untuk mengelirukan masyarakat dunia dan Malaysia.

“Satu contoh, mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri, Haniza Talha disiasat atas dakwaan hasutan, kerana mempersoal belanjawan yang diperuntukkan untuk program Permata?

“Apa kena-mengena dengan ketegangan kaum?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Surendran mendakwa, kebanyakan rakyat Malaysia berkongsi kebimbangan Yun berhubung penggunaan Akta Hasutan yang berat sebelah terhadap pembangkang, aktivis dan rakyat biasa.

“Dalam ucapan di Persidangan UMNO lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan terbuka mungkir janji yang dibuat kepada rakyat, dua tahun lalu bahawa Akta Hasutan akan dimansuhkan.

“Sebagai sebahagian daripada komuniti dunia, Malaysia tidak boleh mengelak daripada dikritik berkenaan keadilan dan hak asasi dalam negara,” katanya.

Surendran berkata, Barisan Nasional tidak boleh memalukan negara dengan terus bersikap ‘tersinggung’, setiap kali mendapat kritikan luar.

“Sungguh memeranjatkan, keputusan UMNO-BN untuk mengekalkan Akta Hasutan. Najib dan UMNO-BN tidak boleh menyalahkan sesiapa, kecuali diri mereka sendiri dan terpaksa menerima kritikan antarabangsa,” katanya.

Surendran menambah, cara untuk memulihkan reputasi dan moral Malaysia di mata dunia, adalah dengan memansuhkan Akta Hasutan dalam sidang Parlimen akan datang.

Semalam, Wisma Putra memanggil Yun, selepas Anifah berkata, Malaysia kecewa yang Duta AS memberi komen negatif berhubung keputusan Malaysia mengekalkan Akta Hasutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.