Sazali Juara Mr. Universe Kali Ke-10

Kuala Lumpur – Badang negara, Sazali Samad, 47, berjaya mencipta rekod dunia setelah merangkul gelaran Mr. Universe buat kali yang ke-10 dalam Kejohanan Bina Badan Dunia menerusi kategori 75 kilogram di Mumbai, India kelmarin.

Akui Sazali Samad, beliau amat berpuas hati dengan pencapaiannya selepas bekerja keras untuk mempertahankan kejuaraan berganda dan kejayaan tersebut adalah untuk mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa menerusi sukan bina badan.

“Saya sangat gembira sebab dapat gelaran kali ke-10. Kejayaan ini adalah untuk Malaysia!,” katanya.

Sazali pernah menjuarai kejuaraan Mr. Universe sebelum ini di Melaka pada tahun 2000; Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011), Bangkok, Thailand (2012) dan Budaors, Hungary (2013).

Kem jaguh bina badan negara membawa pulang empat pingat setelah kemenangan Sazali diiringi oleh kejayaan rakannya Buda Anchah muncul naib johan kategori Master 80 kilogram, antara 40 hingga 49 tahun manakala Syarul Azman Mahen Abdullah menduduki tempat ketiga kategori athletic physique 170 sentimeter.

Peserta wanita negara, Lilian Tan pula menjadi antara orang terakhir memenangi pingat dalam kejohanan ini setelah merangkul kejuaraan kedua dalam kategori 55kg. Acara wanita tidak akan dipertandingkan lagi di peringkat dunia selepas ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.