Perlu Selaraskan Satu Petrol, Untuk Jangka Masa Panjang

Kuala Lumpur – Keputusan kerajaan memansuhkan subsidi petrol pada 1 Disember lalu mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat di negara ini selaku pengguna yang meluahkan kebimbangan ia dijangka memberi kesan kepada kos sara hidup yang semakin meningkat.

Namun, pendekatan kerajaan menggunakan sistem apungan harga mengikut pasaran dunia akhirnya membawa berita gembira apabila harganya turun dibandingkan harga jualan sebelum ini.

Sejajar penurunan harga minyak mentah dunia mencecah USD70 (RM245.60) setong, petrol RON95 dijual pada harga RM2.26 seliter iaitu berlaku penurunan sebanyak 4 sen, RON97 pada harga RM2.46 seliter (turun 9 sen) manakala Diesel, RM2.23 seliter (naik 3 sen).

Semakin Ramai Memilih Minyak Kelas Atasan

Sejurus pengumuman berita tersebut, senario berbeza berlaku apabila pengguna kenderaan lebih teruja menggunakan RON97 kerana perbezaan tipis harga bahan api itu hanya 20 sen seliter berbanding RON95 menyebabkan kebanyakan stesen minyak di Lembah Klang kehabisan bekalan petrol RON97.

Persepsi pengguna terhadap RON97 pada suatu ketika dahulu dianggap minyak kelas atasan kini mula berubah selepas harga minyak diselaraskan mengikut pasaran dunia di mana minyak RON97 dilihat lebih berbaloi berbanding RON95.

Salah seorang pengguna, Syahir Azmi, 26 ketika dihubungi Malaysian Digest menyatakan dia lebih memilih RON97 susulan langkah kerajaan berjaya melaksanakan sistem apungan berkenaan yang mencatatkan harga jualan petrol lebih murah.

“Sekarang ini harga minyak dunia turun dan saya lebih suka menggunakan RON97 apatah lagi ia lebih berkualiti walaupun sekadar berbeza 20 sen dari harga RON95 yang tidak memberi kesan ketara.

“Namun jika harga minyak dunia naik semula, mungkin saya akan kembali menggunakan RON95,” katanya.

Tinjauan wartawan Malaysian Digest sehingga semalam di stesen minyak sekitar Lembah Klang mendapati bekalan RON97 masih tiada bekalan dan situasi ini turut meresahkan segelintir pengguna.

Seorang pelajar kolej, Tan Si Si menyatakan dia terkejut dengan situasi kehabisan RON97 kerana masalah itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ketika saya ingin mengisi minyak RON97 di stesen minyak di Kampung Baru, saya terkejut apabila semua pam minyak RON97 diletakkan notis stok RON97 habis,” katanya kepada Malaysian Digest.

Tindakan Menyorok RON97

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dalam laporan media sebelum ini menafikan dakwaan kononnya kehabisan stok minyak RON97 berpunca daripada tindakan segelintir pengusaha stesen minyak menyorok bekalan api itu.

Sebaliknya, beliau menyatakan perkara itu berlaku berikutan permintaan tinggi daripada pengguna susulan penurunan harga bahan api berkenaan yang berlaku.

“Perlu diingatkan jurang harga antara RON95 dan RON97 sebelum ini adalah besar sehingga pengguna lebih memilih RON95. Ini menyebabkan bekalan yang dihantar bagi minyak RON97 hanya 12 hingga 20 peratus saja.

“Tetapi lain pula jadinya apabila permintaan RON97 kini jauh lebih tinggi berbanding RON95 dan saya sendiri turun padang ke beberapa stesen minyak baru-baru ini dan melihat isu pengusaha menyorok bekalan semata-mata mahu mengambil keuntungan tidak timbul,” katanya.

Tanggapan Enjin Rosak Akibat Penggunaan Petrol Tidak Berkualiti

Di sebalik isu harga yang menjadi topik hangat perbualan khusus di kedai kopi, perkara lain turut dibangkitkan apabila timbul tanggapan terhadap kualiti petrol yang digunakan boleh menjejaskan prestasi enjin untuk tempoh jangka masa panjang.

Menurut seorang mekanik berpengalaman, Mohd Kamarul Azlan, 43, dari Semenyih, Selangor, tanggapan segelintir pengguna terhadap perbezaan petrol RON95 mahupun RON97 yang boleh menjejaskan enjin kenderaan adalah tidak benar.

“Saya berpengalaman dalam mengendalikan enjin pelbagai kereta sejak lebih 22 tahun dan saya sama sekali menafikan persepsi umum jika mereka menukar RON95 ke RON97 mampu membuatkan enjin kereta mereka rosak.

“Ini kerana, mereka yang menggunakan RON97 jauh lebih baik untuk enjin berfungsi dengan lancar kerana pelincir RON97 adalah lebih baik daripada RON95,” katanya turut dihubungi Malaysian Digest.

Namun jika benar apa yang diperkatakan oleh Kamarul itu, timbul lagi isu mengenai kecekapan minyak RON97 di beberapa syarikat stesen minyak.

Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Abu Samah Bachik, kerajaan akan membeli minyak mentah dan mengagihkan di pelbagai syarikat stesen minyak di Malaysia seperti Petronas, Shell, BHP dan Petron.

Di sebalik isu harga minyak yang menjadi persoalan dan bualan ramai, beliau juga mendedahkan prestasi enjin kenderaan tidak dinafikan bergantung kepada kualiti petrol yang digunakan apabila sebenarnya terdapat formula campuran komponen tertentu dilakukan pengusaha stesen minyak.

“Perlu diingat walaupun minyak yang diperolehi semua stesen minyak pada awalnya sama tetapi setiap stesen minyak mempunyai formula tersendiri. Ini bermakna, wujud campuran komponen tertentu ke dalam minyak bahan api mengikut syarikat-masing-masing.

“Ia terpulang kepada setiap syarikat minyak berkenaan mengenai formula campuran komponen berkenaan dan maklumat lanjut mengenai formula yang digunakan adalah rahsia dan tidak boleh diberitahu umum.

“Berkemungkinan, ada pengguna merasai perubahan prestasi enjin kereta apabila menggunakan RON97,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

Selaraskan Satu Jenis Petrol

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Petroleum Dan Tenaga Diperbaharui, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr Juhana Jaafar berpandangan sudah sampai waktunya kerajaan memikirkan langkah penyelesaian mengatasi segala kemelut kekurangan bekalan bahan api.

Katanya, minyak yang diagihkan kerajaan di setiap syarikat minyak akan melalui penyelidikan menerusi pakar penyelidik yang dilantik syarikat terbabit.

“Berkemungkinan minyak disalurkan kepada pengguna berbeza mengikut syarikat minyak di negara ini. Kalau dahulu tiada bekalan minyak RON97 kehabisan tetapi selepas pemansuhan subsidi semua beralih ke RON97 kerana harganya tidak begitu ketara.

“Justeru dalam mengekalkan kelestarian bekalan minyak yang berterusan, saya berpendapat kerajaan boleh melaraskan minyak yang berkualiti tinggi menjadi satu jenis sahaja yang boleh digunapakai semua lapisan masyarakat dan ini bermakna tiada lagi pengkelasan minyak seperti RON95 ataupun RON97.

“Sememangnya, ia tidak adil mengikut jumlah pendapatan berbeza tetapi mungkin kerajaan ada kaedah tersendiri mengikut cara pembayaran berdasarkan tangga gaji pengguna,” katanya kepada Malaysian Digest.

Katanya, pengguna digalak bersikap bijak dalam mengkaji dan membuat sedikit analisa mengenai kos yang terpaksa dikeluarkan untuk pembelian petrol pada setiap bulan dan kos ini bergantung kepada kekerapan penggunaan bahan bakar tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.