Perdana Menteri Saman Akhbar, Teladan Yang Sangat Buruk – Ambiga

Kuala Lumpur – Bekas Presiden Badan Peguam Ambiga Sreenevasan menyifatkan tindakan seseorang Perdana Menteri menyaman media merupakan suatu tindakan yang salah dan ‘amat menganggu’.

Katanya seseorang Perdana Menteri atau pemimpin negara tidak seharusnya menyaman akhbar kerana ia memberi kesan menakutkan kepada media.

“Bagi saya ia adalah satu teladan yang sangat buruk apabila Perdana Menteri menyaman akhbar.

“Pada saya itu salah, kerana ia memberi kesan negatif kepada demokrasi serta kesan negatif kepada kebebasan bersuara,” katanya pada forum ‘Freedom of Expression in Malaysia’ sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia pada Khamis.

Ambiga merujuk kepada tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman fitnah terhadap laman web portal Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel Mei lalu.

Katanya ada banyak platform untuk pemimpin tersebut memberi respon kerana kepada pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan, namun pemimpin itu tetap memilih untuk saman.

“Malaysia Kini telah memberi peluang untuk beliau membalas, namun beliau tidak mengambilnya. Jika seseorang diberi peluang untuk memberi respon dia perlu mengambilnya,” kata Ambiga.

Katanya, proses menyaman juga melecehkan kerana beliau (Najib) perlu berada di kotak tertuduh selama mana perbicaraan itu berlangsung.

Selain itu, Perdana Menteri juga perlu membolehkan dirinya disoal balas oleh peguam.

Jun lalu, Najib dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan saman fitnah terhadap syarikat, ketua editor dan ketua pengarang laman web portal Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel bulan lepas.

Najib dan Ab Rauf menamakan syarikat Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Pengarang Malaysiakini.com Steven Gan dan Pengarang Fathi Aris Omar sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib dan Ab Rauf mendakwa ketiga-tiga defendan melaporkan, mengeluarkan dan membenarkan penerbitan dua artikel berasingan yang bertajuk “A case of the PM reaping what he sows” dan “How much will Najib spend to keep Terengganu?”

Kedua-dua artikel itu didakwa diterbitkan pada 14 Mei lalu. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.