Peperangan Dan Keganasan Di selatan Filipina Punca Masalah Pati Di Sabah – Rahman Dahlan

Nilai – Masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti dalam laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) adalah isu ‘amat beremosi’ di Sabah, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Justeru, beliau meminta rakyat Sabah supaya bersabar kerana isu berkenaan akan mengambil masa untuk diselesaikan.

“Masalah ini bukan senang diselesaikan kerana melibatkan banyak faktor. Malah, laporan RCI itu sendiri menyatakan ada beberapa sebab kenapa pendatang asing tanpa izin berleluasa di Sabah,” katanya selepas merasmikan Pusat Penyelidikan Kebombaan (PUSPEK), Sambutan Hari Inovasi dan Bulan Bahasa Kebangsaan KPKT 2014 di PUSPEK, pada Khamis.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah berkata antara faktor masalah PATI adalah dari segi sejarah, Sabah dahulunya di bawah jajahan Kesultanan Sulu, Filipina dan merasakan bahagian bawah negeri berkenaan masih di bawah jajahan mereka.

Selain itu, beliau berkata peperangan dan keganasan yang berlaku di selatan Filipina juga menjadi punca masalah Pati berleluasa di Sabah.

“Ini juga memberi masalah yang cukup besar kepada Malaysia dan Sabah khususnya sebab mereka akan lari dan tanah besar yang paling dekat ialah Sabah.

Tiada pekerjaan dan ekonomi yang teruk di Filipina, sedangkan di Sabah, ekonomi lebih baik dan peluang pekerjaan dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan yang banyak,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahman menyarankan supaya kerajaan memperketatkan pemberian kad pengenalan, sijil beranak dan taraf kewarganegaraan.

Katanya jabatan-jabatan kerajaan berkaitan juga perlu menyakinkan rakyat bahawa tiada sindiket yang boleh merasuah pegawai-pegawai terbabit bagi mengeluarkan kad pengenalan palsu dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.