Penganjur Demo Turunkan Harga Minyak Malam Ambang Tahun Baru Diminta Hantar Notis

Kuala Lumpur – Pihak penganjur yang merancang untuk mengadakan demonstrasi pada malam ambang tahun baru 2015 di Dataran Merdeka pada 31 Disember depan bagi menuntut kerajaan menurunkan harga petrol RON95 ke paras RM1.90 seliter dinasihatkan supaya menghantar notis kepada pihak polis terlebih dahulu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah sehingga hari ini, pihaknya tidak menerima sebarang notis daripada pihak penganjur yang menggabungkan 16 badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan kumpulan aktivis pro-pembangkang untuk mengadakan demonstrasi berkenaan.

“Seperti biasa, sebelum mereka hendak melakukan apa jua aktiviti yang melibatkan perhimpunan perlulah mengikut peraturan Akta Perhimpunan Aman dan mereka perlulah menghantar notis 10 hari sebelumnya.

“Kami minta mereka yang ingin mengadakan demonstrasi itu hantarlah notis secepat yang mungkin kerana mereka ada banyak lagi masa,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Kata Zainol lagi, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap mereka yang terbabit melakukan yang terbaik dalam melaksanakan sesuatu.

“Kalau hendak buat, buatlah secara elok kerana tugas polis adalah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman orang awam agar ianya dipelihara dengan aman,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula ketika dihubungi memaklumkan Dataran Merdeka kini ditutup untuk kerja-kerja penanaman rumput.

“Tahun ini sambutan tahun baru bakal diadakan di Putrajaya dan Dataran Merdeka pula ditutup.

“Mereka yang hendak berhimpun di Dataran Merdeka tidak dibenarkan memasuki kawasan padang kerana ianya ditutup untuk proses penanaman rumput.

“Kalau hendak berhimpun di luar padang, itu sudah di bawah bidang kuasa polis,” kata jurucakap berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.