Pemimpin UMNO Perlu Undur Secara Bermaruah, Tidak ‘Buat Bodoh’ – Syed Ali

Kuala Lumpur – Pemimpin yang menjadi liabiliti kepada Umno perlu berundur secara bermaruah dan tidak hanya  ‘buat bodoh’, tegas Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Ujarnya inilah masanya untuk beri peluang kepada muka baru yang sarat dengan tenaga, idea dan kemahuan politik, demi kelangsungan politik Umno.
Melalui wawancara khas bersama Antarapos, Syed Ali menegaskan, jika pemimpin liabiliti itu masih berdegil untuk melepaskan kuasa, laungan peremajaan parti hanya akan menjadi retorik semata-mata.
“Yang ada liabiliti pun berhentilah, bukan buat bodoh, senyap sahaja. Jika sayang kepada bangsa Melayu dan Umno, ambil tindakan segera dengan mengundur diri dan beri peluang kepada orang lain.
“Kalau kita tak rasa kita boleh buat, kita cari orang lain yang boleh buat. Beri laluan kepada orang baru yang mempunyai idea baru dan cara baru untuk mengembangkan kekuatan Umno itu sendiri,” katanya.
Isu peremajaan parti semakin lantang diperkatakan ahli-ahli Umno melalui Perhimpunan Agung Umno 2014 yang berlangsung dua minggu lalu.
Rata-rata golongan muda di dalam parti mahu ia segera dilaksanakan demi memastikan Umno terus relevan di kalangan masyarakat Melayu di negara ini, apatah lagi tempoh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 semakin singkat.
Tidak itu sahaja, gesaan supaya parti-parti komponen Barisan Nasional bekerja lebih gigih turut disuarakan supaya prestasi terburuk seperti yang dilalui pada PRU-12 dan PRU-13 tidak lagi berulang.
Bagaimanapun, Syed Ali ‘kesal’ dengan perihal gerak kerja MCA, MIC dan Gerakan yang kelihatannya masih selesa di takuk lama.
“Mereka kena bermuhasabah diri. Masing-masing jangan asyik persalahkan orang lain, sebaliknya kena buat kerja.
“MCA kena dekati masyarakat orang Cina, tarik mereka dan tanya apa yang mereka mahu kita lakukan. Jangan jadi seperti agen DAP yang selalu balun Umno. Begitu juga MIC,” tegasnya.
MCA, MIC dan Gerakan mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah pilihan raya Barisan Nasional apabila rata-rata masyarakat Cina dan India di negara ini lebih memihak kepada PKR dan DAP.
Daripada 37 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, MCA hanya menang sembilan.
MIC pula menang empat daripada sembilan kerusi Parlimen manakala Gerakan kini hanya ‘mendapat tempat’ di Parlimen Teluk Intan.
Situasi ini sekaligus memberi gambaran cemas kepada BN selaku kerajaan pemerintah sekiranya rekod Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya umum yang lalu menjadi ukuran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.