Ophilia Cetus Kontroversi, Bawa Budaya Skinhead

Kuala Lumpur – Belum pun ceritanya ditayangkan di pawagam tetapi nama filem ini mula tersebar menerusi laman sosial Twitter sekitar beberapa bulan lalu. Karya arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin berjudul Ophilia menarik perhatian ramai yang tidak sabar menonton filem ini bermula 18 Disember ini.

Filem ini turut mencetuskan kontroversi selepas mendapat kritikan negatif apabila mengetengahkan budaya skinhead yang lazimnya dikaitkan dengan aktiviti keganasan, dadah dan arak.

Bertemu dengan Raja Mukhriz pada sesi pratonton filem ini baru-baru ini, dia mengakui kontroversi yang tercetus sangat membantu dari aspek promosi karya sulungnya ini.

“Penonton menunggu dan ingin tahu sama ada betul mengenai budaya skinhead yang hangat diperkatakan itu. Saya harap penonton beramai-ramai ke pawagam menonton sendri filem ini sekaligus menyokong industri perfileman kita.

“Pada saya, tidak pasti apa itu erti filem berkualiti atau tidak berkualiti tetapi kita sebagai pengkarya harus tahu cara menghasilkan filem dengan bentuk dan pendekatan yang bagaimana, ‘angle’ yang mahu kita berikan pada penonton. Penonton hari ini mahukan sesuatu yang mencabar,” katanya yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pengarah fotografi yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam indusrti perfileman tanah air.

Tambah suami pelakon Sharifah Shahora, di awal pembikinan filem ini dia berdepan cabaran apabila ditolak beberapa penerbit yang kurang yakin dengan naskah ini.

Katanya, dia sememangnya lebih selesa berkarya tentang dunia yang difahami dan merakamkan persekitaran yang rapat dengan diri.
“Walaupun ditolak, kami tidak putus asa atas semangat dan keinginan antara seluruh produksi dan pelakon. Penat jerih dalam merealisasikan filem ini merupakan sesuatu yang ‘ultimate’ buat kami semua.

“Saya ambil skinhead dan jadikan ia sebagai latar cerita bukan kerana mahu kontroversi atau apa-apa. Saya tahu, apabila sebut saja skinhead, ramai yang mengenalinya sebagai budaya kuning dan negatif.

“Saya membesar sewaktu budaya skinhead tengah popular sekitar lewat tahun 1980-an dan 1990-an. Selain rock, banyak lagi sub budaya yang menjadi ikutan anak muda ketika itu termasuk punk dan heavy metal.

“Ketika itu saya lebih kepada ‘underground’ dan walaupun saya bukan sebahagian pengikut skinhead tetapi benda begitu depan mata saya. Jadi saya pilih sub budaya yang dekat dengan jiwa saya apabila berkarya,” katanya.

Mengulas lanjut beberapa babak pergaduhan dan dialog yang menggunaan bahasa kasar, Raja Mukhriz menyatakan semasa menghasilkan filem ini dia tidak terlalu memikirkan soal sensitivi sebaliknya hanya menjalankan penggambaran seperti yang dimahukannya tetapi tetap akur apabila ada beberapa babak dipotong Lembaga Penafisan Filem (LPF).

“Apa yang saya tahu, merakamkan mengikut jalan cerita, skrip dan apa yang saya mahu buat. Soal bahasa yang digunapakai dalam dialog pun saya tidak fikirkan sangat dan jika ada pemotongan, kita bersedia dan terima.

“Namun, selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) tengok, hanya ada dua pemotongan tetapi ia tidak menjejaskan jalan cerita filem ini yang mendapat klasifikasi P13”, katanya yang turut mengarahkan filem Tujuh.

Filem terbitan bersama SPS Jaya Sdn Bhd dan Elevenfield Sdn Bhd ini mengisahkan persahabatan tiga anak muda yang terikut budaya skinhead. Menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur selama 20 hari, filem ini diterajui pelakon berpengalaman seperti Pekin Ibrahim, Que Haidar dan pelakon baru, Kodi Rasheen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.