NGO Melayu Serah Memorandum Permohonan Maaf Pada Duta Vietnam

Kuala Lumpur – Sekumpulan NGO Melayu hari ini menyerahkan memorandum permohonan maaf kepada Kedutaan Vietnam ekoran tindakan segelintir penyokong Malaysia yang bergaduh dengan penyokong negara itu dalam perlawanan separuh akhir Piala Suzuki di Stadium Shah Alam Ahad lalu.

Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) mengambil inisiatif itu ke kedutaan negera itu hari ini.

Mereka menyuarakan kekesalan terhadap insiden yang berlaku dan merayu supaya insiden yang sama tidak berulang lagi sekaligus meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya jika berulang.

“Ia adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak elok kerana seluruh dunia memerhati kita. Dah kalah, kalah la. Yang menang, menanglah. Kita kena beri penghormatan tetamu luar negara kita,” kata Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah.

Beliau juga mahu penyokong Malaysia berfikir panjang sebelum bertindak kerana khuatir terhadap rakyat Malaysia yang berada di Vietnam sekiranya insiden itu berulang.

Turut hadir sewaktu menyerakan memorandum itu Presiden IRIMM Amir Amsaa Alla Pitchay dan Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah yang turut diiringi beberapa aktivis mereka.

Perlawanan hujung minggu lalu menyaksikan Malaysia tumpas kepada Vietnam dengan jaringan 1-2.

Perlawanan separuh akhir kedua berlangsung malam ini di Vietnam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.