Malaysia Kecam Israel Atas Kematian Menteri Palestin

Kuala Lumpur – Malaysia mengecam penggunaan kekerasan oleh tentera rejim Zionis, sehingga menyebabkan menteri Palestin, Ziad Abu Ain maut.

Sehubungan itu, Israel digesa berhenti menggunakan kekerasan terhadap rakyat Palestin.

“Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa menjalankan siasatan telus berhubung insiden itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab (terhadap kematian Abu Ain) ke muka pengadilan,” demikian kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Abu Ain, kerajaan serta rakyat Palestin.

Sementara itu, Kerajaan Palestin menyalahkan Israel atas kematian mengejut Abu Ain, pada tengah hari Rabu.

Doktor Palestin menyatakan, menteri Kabinet berusia 55 tahun itu mati, akibat dipukul di dada, tetapi doktor Israel mendakwa, mangsa mati akibat serangan jantung.

“Hasil bedah siasat menunjukkan tentera Israel adalah punca kematian Abu Ain,” demikian kata Menteri Kesihatan Palestin, Jawad Awad.

Penafsiran bertentangan terhadap bedah siasat bersama ke atas jenazah Abu Ain itu dilihat bakal meningkatkan lagi ketegangan antara Israel dan Palestin, tatkala rakyat Palestin yang berang, mahu kerjasama keselamatan dengan tentera Yahudi di Tebing Barat, dihentikan.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bagaimanapun tidak tergesa-gesa bertindak untuk menghentikan kerjasama keselamatan dengan tentera Israel di Tebing Barat, kerana dasar tidak popular itu ternyata membantu Abbas meneruskan pentadbirannya di kawasan berautonomi itu.

Abu Ain adalah menteri yang bertanggungjawab dalam isu penempatan Israel di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin.

Abu Ain mati pada tengah hari Rabu, ketika menyertai bantahan aman bersama penunjuk perasaan Palestin di Kampung Turmusaya, Ramallah, Tebing Barat.

Menurut saksi, seorang anggota polis sempadan separa tentera Israel bertindak mencengkam leher Abu Ain, sebelum menolaknya.

Beberapa minit selepas pergelutan itu, Abu Ain rebah dan mati dalam perjalanan ke hospital.

Ahli patologi dari Palestin, Jordan dan Israel kemudiannya menjalankan bedah siasat bersama.

Dr. Saber Aloul dari Palestin berkata, punca kematian Abu Ain adalah pukulan di dada, selain sebahagian gigi depan mangsa yang patah dikesan berada di belakang lidahnya, akibat trauma di mukanya.

Tambahnya, kedua-dua belah leher, bahagian belakang lidah dan saluran udara mangsa juga lebam.

Ahli patologi Palestin itu turut menyatakan, arteri koronari mangsa juga mengalami pendarahan, akibat kesakitan dan tekanan yang dialaminya.

Bagaimanapun, Ketua Patologi Israel, Dr. Chen Kugel berkata, kematian Abu Ain berpunca daripada serangan jantung.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/global/2014/12/12/malaysia-kecam-israel-atas-kematian-menteri-palestin/#ixzz3Lh1aZNSv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.