Hishamuddin Sifatkan Tindakan Alvin Tan Lari Keluar Negara Seperti Hijrah Nabi

Kuala Lumpur – Aktivis politik yang pernah hidup dalam buangan Hishamuddin Rais menasihatkan penulis blog kontroversi Alvin Tan dan aktivis Ali Abdul Jalil yang memperoleh suaka luar negara supaya meneruskan “kerja politik”.

 

Hishamuddin berkata, kegiatan itu boleh dilaksanakan daripada luar Malaysia demi memastikan wujudnya kerajaan Malaysia yang lebih adil.

 

Beliau juga mengingatkan pemegang suaka politik itu bahawa mereka bukan “pelarian ekonomi” yang mencari kekayaan luar.

 

Sambil mengucap syabas kepada Alvin dan Ali, Hishamuddin menyarankan kedua-dua individu itu mencontohi langkah tokoh-tokoh penting dalam sejarah, termasuk Nabi Muhammad yang berhijrah ke Madinah.

 

“Mereka lari untuk meneruskan perjuangan bukan untuk cari kerja atau bukan restoran tomyam,” katanya.

 

Hishamuddin mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengumpamakan Alvin dan Ali seperti bangau yang pulang ke belakang kerbau, selepas memohon suaka daripada Amerika Syarikat dan Sweden.

 

Tanpa menyebut nama, Zahid dipercayai merujuk kepada Hishamuddin apabila berkisah tentang seorang kawannya, pemimpin mahasiswa pada 1974 yang lari ke luar negara namun pulang ke Malaysia akhirnya.

 

‘Jadilah internasionalis’

 

Sementara itu, mengimbau pengalamannya menetap di Belgium dan United Kingdom (UK), Hishamuddin berkata beliau sendiri terus terlibat mengecam “kezaliman” Malaysia melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

 

“Orang berjuang tidak ada sempadan tanah air,” katanya.

 

“Jadilah internasionalis, jadi warga dunia dan bawalah tradisi mulia perjuangan datuk nenek moyang kita dari Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Kilau, Rashid Maidin, Chin Peng dan Abdullah Sidi.”

 

Hishamuddin, seorang penulis politik juga senada dengan Zahid yang percaya bahawa kedua-dua anak muda itu akan kembali ke Malaysia suatu hari nanti “jika kerajaan yang lebih adil wujud”.

 

“Kerajaan (baru) ini pasti membolehkan mereka pulang,” katanya.

 

Hishamuddin lari ke luar negara ketika berlaku penggunaan besar-besaran ISA ketika kemuncak gerakan mahasiswa tanah air pada tahun-tahun 70-an.

 

Beliau antara tokoh penting menggerakkan Demonstrasi Baling (atas) ketika itu sebagai mengetengahkan kesengsaraan hidup petani di bandar kecil di Kedah itu.

 

Beliau pernah hidup dalam buangan di luar negara lebih 20 tahun.

One thought on “Hishamuddin Sifatkan Tindakan Alvin Tan Lari Keluar Negara Seperti Hijrah Nabi

  • May 1, 2015 at 10:45 pm
    Permalink

    jangan samakan perjuangan nabi yang menjadikan umat selamat dunia dan akhirat. perjuangan anda berdua lebih kepada huru-hara didalam negara yang berbilang kaum.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.